pahangdaily pahangdaily Author
Title: Mat Sabu Bimbang Perangai Lama PAS Akan Menular Dalam Amanah
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengakui bimbang sekiranya “perangai lama” dari PAS yang pernah dianggotai sebahagian besar...
PETALING JAYA: Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengakui bimbang sekiranya “perangai lama” dari PAS yang pernah dianggotai sebahagian besar pimpinannya kembali menular di dalam Amanah.
Dan “perangai” yang dimaksudkannya ialah sikap feudalisme dan mengutamakan kepentingan umat Islam sehingga cenderung mengabaikan hak agama lain.
“Misalnya dalam pertembungan antara Ahok (Basuki Tjahaja Purnama) dan Anies Baswedan dalam pemilihan Gabenor Jakarta, masih ada yang berkata Anies perlu menang hanya kerana dia beragama Islam,” katanya sambil mengakui Anies merupakan tokoh yang hebat.
“Amanah tidak boleh menjadi parti yang statik, dan sentiasa perlu berkembang mengikut perkembangan semasa. Amanah tidak boleh mengulangi kesilapan rakan-rakan (gerakan Islam) yang lalu,” katanya dalam wawancara di pejabat FMT semalam.
Yakin kekal
Mat Sabu berkata Amanah memiliki idealogi tersendiri dan tidak akan mudah mati dalam arus politik negara.
Ini kerana, katanya, parti yang kurang 2 tahun ditubuhkan itu mempunyai matlamat jangka panjang dan bukan ditubuhkan hanya untuk menang pilihan raya semata-mata.
“Pada masa tertentu, Amanah mungkin dalam keadaan lemah, ada masa kuat. Tetapi ini parti berasaskan idealogi, dia tidak akan mati.”
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kekuatan sokongan akar umbi terhadap parti itu, yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS selepas muktamar 2015 yang menyaksikan kebangkitan penyokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu mengembalikan agenda negara Islam.
Mat Sabu mengakui Amanah mungkin belum dapat menandingi kekuatan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga baru ditubuhkan, tetapi yakin ia adalah parti masa depan kerana kualiti keahliannya.
“Semakin ramai golongan intelektual yang menyertai Amanah. Ini kerana mereka yakin dengan masa depan parti,” katanya.
Beliau membandingkan partinya dengan Semangat 46, yang dianggapnya parti untuk “kepentingan semasa”.
Semangat 46 ditubuhkan pada 1988 oleh “team B” Umno yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah selepas tewas dalam pemilihan Umno. Parti itu juga gagal menewaskan Barisan Nasional pada pilihan raya 1990, dan prestasinya semakin memburuk pada PRU 1995, apabila ramai tokoh utamanya hilang kerusi.
Semangat 46 dibubarkan pada 1996 selepas kemasukan semula Razaleigh ke dalam Umno.
“Ia hanya berdasarkan kepentingan semasa. Walaupun Semangat 46 didokong ramai menteri dan tokoh seperti Ku Li dan (Tan Sri) Rais Yatim, ia tidak bertahan lama selepas gagal menang pilihan raya,” katanya.
Gerakan Islam relevan
Mat Sabu yang mempunyai pengalaman 3 dekad dalam PAS dan pernah menyandang jawatan timbalan presiden parti Islam itu, berkata Amanah bukan sahaja mahu membawa semangat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas mursyidul am PAS yang dilihat mahu bekerjasama dengan parti ideologi lain, tetapi menjadi gerakan berasaskan Islam yang relevan dengan perkembangan dunia semasa.
“Kebanyakan parti dan gerakan berasaskan Islam lebih mementingkan hukum sehingga gagal mengutarakan nilai Islam – seperti prinsip keadilan kepada semua dan penolakan terhadap rasuah.
“Kenapa kita mahu meninggalkan perjuangan ini kepada mereka yang digelar ‘kiri’ dan ‘liberal’?” soalnya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top