pahangdaily pahangdaily Author
Title: Mat Sabu: Jangan "Perbodohkan" Rakyat Dengan Polemik RUU355 !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR : “Jika benar-benar kerajaan ikhlas dan yakin bahawa isu RUU 355 sebagai keperluan penting perundangan dan isu substantif,...

KUALA LUMPUR: “Jika benar-benar kerajaan ikhlas dan yakin bahawa isu RUU 355 sebagai keperluan penting perundangan dan isu substantif, pastinya kerajaan sendiri akan mengambil inisiatif memindanya.”

Demikian kata Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu mengulas keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lalu bahawa kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen.

“Motif sebenarnya ialah kepentingan politik maka RUU 355 telah digunakan sebagai umpan untuk menarik PAS keluar dari muafakat Pakatan Rakyat.

“Lalu berlakulah apa yang berlaku sehingga kemudiannya PAS berpecah selepas berlakuknya pembersihan golongan progresif dan pro-PR,” tambah bekas Timbalan Presiden PAS itu.

Menurut beliau Najib dan pimpinan UMNO telah ‘melayani’ kehendak PAS seolah-olah menyokong RUU 355 ini. Namun kini seluruh rakyat telah jelas dengan kedudukan perkara tersebut yang sekadar menjadi perhitungan kepentingan politik UMNO-BN.

Perdana Menteri seusai mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasioanal minggu lalu mengumumkan tidak akan mengambil alih pembentangan usul pindaan terhadap Akta tersebut daripada Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Ini setelah berbulan-bulan menjustifikasi keperluan untuk meminda Akta tersebut, hatta membahaskannya dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun lalu, selain menyatakan sokongan kepada perhimpunan ungu di Padang Merbok anjuran PAS.

Polemik hudud dan RUU 355 menyebabkan PAS berpecah dua, yang akhirnya membawa kepada penubuhan Amanah yang kini dipimpin Mohamad Sabu sendiri.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menegaskan bahawa rakyat perlu segera kembali fokus kepada usaha menolak penguasa politik yang rasuah.

“(Mereka) tidak amanah, tidak kompeten, jenis balun, boros dan bolot kekayaan negara.

“Bebanan kos sara hidup rakyat di segi pemakanan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan, perumahan, peluang pekerjaan bagi penganggur khasnya belia dan graduan, kejatuhan nilai ringgit, impak cukai GST dan penarikan pelbagai subsidi untuk rakyat, adalah isu-isu sebenar yang cuba dialih pandang oleh kerajaan Najib,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

“Hentikan dari dipermain dan diperbodohkan dengan polemik RUU 355 ini oleh golongan yang mahu mengekalkan kuasa UMNO-BN dan mereka yang menyokong penguasa politik yang rasuah dan tidak amanah ini,” tegasnya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top