pahangdaily pahangdaily Author
Title: Menteri Besar Pahang Dakwa Dia Tidak Pernah Pun Terlibat Urusan Tender
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini berkata, beliau tidak pernah terlibat dalam urusan tender di negeri in...

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini berkata, beliau tidak pernah terlibat dalam urusan tender di negeri ini, mahupun menjadi pengerusi Jawatankuasa Tender negeri.

Adnan menambah amalan itu mula dipraktikkannya sejak beliau menjawat jawatan Menteri Besar pada tahun 1999 dan sehingga kini, tidak pernah berhasrat untuk mengubah ketetapan tersebut.

"Saya selalu sebut dalam mesyuarat kerajaan negeri dan jawatankuasa tender bahawa bila orang atau syarikat berkenaan sudah dapat tender, dah dapat kontrak kerajaan negeri... baharu MB (Menteri Besar) akan tandatangan.

"Orang ingat MB ini pengerusi jawatankuasa tender tapi sebenarnya tidak. Ada sesetengah negeri MB jadi pengerusinya tapi saya tak nak. Lebih senang dan tak pening... Kalau jadi (pengerusi) lebih ramai yang datang minta," katanya.

Adnan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pertama Tadbir Urus Korporat dan Integriti anjuran bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Yayasan Pahang (YP) di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan, Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, Pengurus Besar YP Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Adnan menjelaskan pengerusi Jawatankuasa Tender bagi kontrak melibatkan peruntukan kerajaan negeri ialah Pejabat Kewangan Negeri dan jika tender itu melebihi RM3 juta, maka tender tersebut akan melalui mesyuarat kerajaan negeri.

"Saya selalu ingatkan exco supaya memilih dengan adil dan saksama serta meletakkan sesuatu pada haknya dalam soal tender. Selalu ingatkan supaya jangan pilih kasih, jangan (amalkan) kroni dan kalau boleh bantu, kita bantu.

"Misalnya jika orang itu mengemukakan tender yang terbaik dan sangat layak, tapi kita tidak kenal, maka kena bagi tender. Kalau dia tak layak tapi kawan kita, makanya jangan beri," katanya.

Adnan menambah setakat ini, beliau berpuas hati dengan urusan pemberian tender dan beliau berpendapat di Pahang, tiada kes-kes besar melibatkan pemberian tender yang tidak telus.   

Pada majlis itu, Adnan turut merasmikan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMSC) yang dibangunkan secara bersama oleh UMP dan YP yang bertujuan untuk mengukur, mengesan dan menghalang risiko rasuah dan salah laku.

Sistem itu melibatkan pengurusan atasan, pelabur, warga kerja, pelanggan dan pihak kerajaan dan Mahmud berkata YP telah memulakan 'sesi pengenalan' ABMSC kepada pegawai dan kakitangannya untuk dilaksanakan.

"Menerusi langkah itu, YP berpeluang untuk memahami tahap kesedaran berkaitan etika dan integriti dalam kalangan kakitangannya selain persepsi mengenai fungsi ABMSC.
"Kami berharap agensi kerajaan dan syarikat milik kerajaan akan menggunakan ABMSC, ia dapat membantu untuk mengelakkan serta mengurangkan risiko rasuah," katanya.

Sementara itu Daing Nasir berkata inisiatif untuk membangunkan ABMSC adalah komitmen berterusan Pusat Tadbir Urus dan Integriti, Fakulti Pengurusan Industri UMP Gambang, selaras dengan sasaran kerajaan menggalakkan agenda integriti menerusi kepakaran dan penyelidikan akademik. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top