pahangdaily pahangdaily Author
Title: Najib: Kerajaan BN Terus Komited Untuk Martabatkan Agama Islam !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Walaupun banyak diperkatakan mengenai kedudukan Islam di negara ini, Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan Barisan Na...
KUALA LUMPUR: Walaupun banyak diperkatakan mengenai kedudukan Islam di negara ini, Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus komited dalam mendukung Islam sejajar dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perdana menteri berkata, ini selari dengan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyebut Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Katanya, jika diselami dan dilihat secara menyeluruh, banyak yang telah dilakukan kerajaan dalam memastikan Islam terus berkembang dan kebajikan umat Islam di negara ini terus terpelihara.
“Sebagai contoh, dalam Bajet 2017, saya telah mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan RM50 juta kepada Sekolah Pondok yang berdaftar.
“Buat julung kalinya juga, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui Dasar Tahfiz Negara. Langkah ini penting dalam menentukan hala tuju negara ke arah memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus subur dan berkembang,” kata Najib dalam catatan terbaharu di blog rasminya bertajuk “Islam Di Bawah Kerajaan Barisan Nasional”.
Najib berkata, kerajaan Persekutuan pimpinan BN sedar pendidikan al-Quran dan Tahfiz Al-Quran adalah ramuan signifikan dalam memelihara Islam, lebih-lebih lagi dalam memberi penyediaan kepada golongan cendekiawan Islam untuk menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap Islam.
“Ini juga adalah salah satu cara kerajaan untuk memastikan fahaman ekstremis tidak menular di Malaysia.
“(Dan) ini sejajar dengan visi saya untuk membina sumber tenaga manusia yang holistik, bukan sahaja berkebolehan dari segi akademik tetapi berkeupayaan dalam pelbagai aspek termasuk ketakwaan dan jati diri sebagaimana yang dituntut oleh Islam,” kata Perdana Menteri.
Najib juga berkata, kebajikan imam, bilal dan siak turut terpelihara di mana 15,000 imam di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di seluruh negara telah menerima kenaikan elaun daripada RM750 kepada RM850 sebulan dan sebanyak 16,000 siak dan bilal menerima bantuan RM500 secara sekali sahaja manakala elaun guru kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) melibatkan 33,000 guru telah dinaikkan kepada RM900 daripada RM800 sebulan.
“Insya-Allah, kebajikan mereka yang berkecimpung dalam bidang agama ini akan terus menjadi agenda utama kerajaan dalam memperkasakan agama Islam,” katanya.
Menyentuh mengenai peranan kerajaan BN dalam menegakkan syiar Islam di peringkat antarabangsa, Najib berkata, pendekatan wasatiyyah yang diambil oleh kerajaan juga telah menarik minat banyak pihak dan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam progresif di mata dunia.
“Kita telah mendapat banyak pengiktirafan antarabangsa dalam usaha kita memerangi keganasan yang kononnya berlandaskan Islam, contohnya semasa lawatan saya ke India baru-baru ini, Perdana Menteri Narendra Modi telah menyatakan minat beliau dalam pelan deradikalisasi Malaysia.
“Suara kita turut didengari apabila kita membantah kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar. Ulama-ulama terkenal seperti Mufti Menk juga menyokong usaha-usaha Malaysia dalam menyebarkan Islam yang berpaksikan kesederhanaan dan kasih sayang,” katanya.
Najib seterusnya menekankan bahawa konsep wasatiyyah, keadilan sosial dan kesaksamaan akan terus menjadi pegangannya selagi beliau masih menjadi perdana menteri, termasuk dalam hal ehwal politik.
“Suatu ketika dahulu, umat Islam di Malaysia berpecah-belah dan ada pemimpin yang membantutkan pembangunan di negeri-negeri tertentu juga kerana fahaman politik yang berbeza.
“Alhamdulillah, realiti semasa sudah berubah. Umat Islam di Malaysia sudah bekerjasama dan bersatu dalam memastikan kebajikan umat Islam dan kesucian agama terus dipelihara,” katanya.
Dari segi pembangunan (dalam negara) pula, Najib berkata, tiada negeri yang ditinggalkan.
“Contohnya, dalam merangka projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS akan turut menerima manfaat pembangunan di mana stesen terakhir akan terletak di Pengkalan Kubor, Tumpat,” katanya.
Meskipun begitu, Najib menegaskan, perjalanan dalam memartabatkan Islam masih jauh dan masih banyak yang perlu dilakukan dalam memastikan Malaysia terus menjadi negara Islam yang moden dan progresif.
“Sesungguhnya, ini bukanlah satu kerja yang mudah kerana kita adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan berbilang agama, nescaya sensitiviti antara kaum haruslah diambil kira dalam penggubalan apa-apa polisi demi memelihara keamanan negara,” katanya.#sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top