pahangdaily pahangdaily Author
Title: Nenek 'Bawa Keluarga' Pindah Ke Pondok, Tak Mampu Bayar Sewa !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN : Buntu tidak mempunyai tempat untuk dituju, seorang warga emas membawa keluarganya tinggal di pondok tanpa sebarang kemudahan ...

KUANTAN: Buntu tidak mempunyai tempat untuk dituju, seorang warga emas membawa keluarganya tinggal di pondok tanpa sebarang kemudahan asas selepas tidak mampu menjelaskan sewa rumah sejak sebulan lepas.

Fatimah Mahmud, 63, berkata beliau bersama-sama dua anak, dua menantu dan tiga cucu berusia dua bulan, 2 dan 10 tahun hanya menggunakan pelita pada waktu malam manakala bekalan air diperoleh daripada sungai di sebelah pondok itu.

"Sebelum ini, kami tinggal di Bukit Rangin. Tapi sebab tidak mampu membayar sewa, kami berpindah dan buat pondok di sini...ini pun orang kata tanah rizab sungai, tapi kami tiada pilihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menerima kunjungan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang yang meninjau kesusahan keluarga itu yang tinggal berhampiran kilang papan di Batu 8, Jalan Gambang di sini, Ahad.

Tinjauan mendapati 'kediaman' lapan beranak itu hanya diperbuat daripada papan dan beratap zink serta dibahagikan kepada dua bahagian bagi memisahkan ruang antara Fatimah dan keluarga anaknya.

Fatimah berkata sebagai ibu dan nenek, sudah pasti beliau berhasrat menyediakan kediaman yang selesa kepada keluarga dan mahu semua cucunya mendapat pelajaran serta menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Bagaimanapun, beliau runsing mengenangkan cucunya yang berusia dua bulan itu masih belum didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara kerana kad pengenalan bapa kanak-kanak itu hilang dan belum memohon yang baharu.

Difahamkan, dua anak lelaki yang tinggal bersama Fatimah bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan pelabuhan di sini manakala seorang daripada menantunya mempunyai masalah kesihatan dan sukar bergerak.

Sementara itu, guru kaunseling Sekolah Kebangsaan Bukit Rangin Fazrin Fauzi berkata cucu Fatimah, Shukri Jasni, 10, sudah tidak hadir ke sekolah selama hampir dua bulan.

"Guru-guru telah cuba menghubungi keluarga murid ini untuk mengetahui masalah yang dihadapi dan didapati dia datang dari keluarga yang serba kekurangan selain menghadapi masalah ke sekolah kerana jarak rumah yang terlalu jauh," katanya.

Menurutnya pihak sekolah telah berurusan dengan JKM supaya tindakan sewajarnya boleh diambil bagi meringankan beban keluarga itu manakala guru sekolah terbabit juga mengambil inisiatif menghulurkan bantuan barangan keperluan asas.

Semasa kunjungan itu, wakil JKM memberi jaminan akan membawa kes itu untuk tindakan seterusnya dan memaklumkan seorang anggota keluarga berkenaan mendapat bantuan zakat sebanyak RM600 sebulan. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top