pahangdaily pahangdaily Author
Title: Nur Jazlan: Memiliki "12 Buku", Siti Aisyah Potensi Sertai Kumpulan IS !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Memiliki beberapa buku karangan pemimpin militan seperti dari Al-Qaeda bukanlah menjadi satu-satunya sebab polis mengambil...
KUALA LUMPUR: Memiliki beberapa buku karangan pemimpin militan seperti dari Al-Qaeda bukanlah menjadi satu-satunya sebab polis mengambil tindakan terhadap Siti Noor Aishah Atam, 29, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Timbalan menteri dalam negeri itu berkata, berdasarkan risikan dilakukan polis mendapati Aishah adalah individu yang berpotensi untuk sertai militan Islamic State (IS).
“Memiliki 12 buah buku itu bukanlah satu-satunya sebab untuk dia (Aishah) ditahan, kerana polis mempunyai sebab-sebab lain. Dia dilihat mempunyai jaringan dengan militan-militan lain.
“Penahanan itu tidak membuktikan Aishah terlibat dalam kegiatan IS, tapi dia berpotensi untuk sertai,” katanya.
Siti Noor Aishah yang sebelum ini dibebaskan mahkamah ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau Sosma, dan kini ditahan di Penjara Kajang sejak 29 Mac.
Antara buku yang ditemui dalam simpanannya adalah “Visi Politik Gerakan Jihad”, “Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi Apa Rencana Mereka Ke Depan”, “Dari Usama Kepada Para Aktivis”, “Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda” dan “Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru”, yang kesemuanya meraikan perjuangan militan atas nama jihad.
Nur Jazlan berkata, kenyataan ahli Parlimen pembangkang atau mana-mana pihak terhadap Aishah hanya memburukkan keadaan, kerana akan jejaskan kes yang sedang disiasat.
“Mana-mana kenyataan dikeluarkan termasuk dari pembangkang, juga ibu dan bapanya terhadap Aishah, hanya akan memburukkan keadaan dan jejaskan kes,”katanya.
Nur Jazlan berkata pengharaman buku mendokong perjuangan militan tidak akan memberi penyelesaian, kerana ia masih akan tetap disebar dan dibaca masyarakat.
“Untuk mengawal buku berkenaan dari tidak disebarkan juga adalah tidak mudah memandangkan ia akan diterbitkan dan dijual pihak lain,” katanya.
Semakan sebelum ini mendapati ada di antara buku berkenaan boleh dibaca secara percuma di atas talian.
Siti Aishah pertama kali ditahan pada Mac 2016, di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Sosma kerana memiliki 12 buah buku yang didakwa berkaitan kumpulan militan.
Pada April 2016, dia didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan tidak mengaku bersalah memiliki buku-buku berkenaan. Siti Aishah mendakwa buku-buku itu merupakan penyelidikannya untuk ijazah sarjana di Universiti Malaya (UM).
Selepas ditangkap pada Mac tahun lalu, Siti Aishah dipecat UM kerana kegagalannya menghadiri kelas. Ketika itu beliau mengambil jurusan dalam bidang Usuluddin.
Pada September tahun lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Siti Aishah daripada semua pertuduhan atas alasan tiada kes prima facie dibuktikan terhadapnya, tetapi beliau ditangkap semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 atau Poca, selama 60 hari.
Sebaik dibebaskan, beliau diletakkan di bawah tahanan rumah, dengan peranti pengawasan elektronik dipasang, untuk memastikan beliau tidak meninggalkan daerah Surah di Dungun, Terengganu, tanpa kelulusan polis. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top