pahangdaily pahangdaily Author
Title: Warga Felda Jengka 7, Gembira Di Atas Kepulangan Mohd Ridzuan !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
JENGKA:   Penduduk Felda Jengka 7 di sini, berkongsi berita gembira mengenai pembebasan Mohd Ridzuan Ismail, 33, yang merupakan generas...

JENGKA:  Penduduk Felda Jengka 7 di sini, berkongsi berita gembira mengenai pembebasan Mohd Ridzuan Ismail, 33, yang merupakan generasi kedua Felda tersebut, dari tahanan culik kumpulan Abu Sayyaf, semalam.

Mewakili penduduk, juga bekas Ketua Blok F2, Basiron Mokhtar, 61, berkata, berita keselamatan Mohd Ridzuan yang diberitakan selamat setelah hampir lapan bulan diculik, sememangnya membuahkan perasaan terharu penduduk.

Menurutnya, penduduk lebih-lebih lagi jiran terdekat  Mohd Ridzuan bersyukur dan gembira, atas usaha mereka menjalankan solat hajat, bacaan Yasin dan majlis doa selamat, akhirnya termakbul.

Sementara itu, adik Mohd Ridzuan, Mohd Raisuddin, 31, ketika dihubungi Sinar Harian meluahkan rasa gembira atas berita keselamatan abangnya.

"Kami adik beradik dalam perjalanan ke KLIA sekarang (petang semalam). Rasa sedih, gembira, terharu, berdebar semua ada. Tak sabar nak jumpa abang. Sebelum abang diculik saya dah tak jumpa dia hampir empat tahun. Pertemuan ini memang sesuatu yang dinanti-nantikan kami adik beradik.

"Buat masa ini kami mengikut keputusan pihak berkuasa dan kakak ipar. Jika dibenarkan memang kami nak abang balik ke Jengka 7 dulu. Apa yang penting abang sihat. Tengok berita dia nampak kurus berbanding dia yang kami kenal sebelum ini," katanya.

Kelmarin, Kementerian Luar mengesahkan Jumadil Rahim, 24; Mohd Ridzuan Ismail, 33 dan Fandy Bakran, 27 diselamatkan menerusi operasi 'Full Force Military' di Punay (Poblacion) Panglima Estino, Sulu tengah malam Ahad.

Ketiga-tiga mereka dihantar ke pusat perubatan tempatan di Filipina bagi pemeriksaan kesihatan lanjut, demikian menurut kenyataan itu.

Malaysia turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Filipina atas usaha menyelamatkan mangsa culik terbabit.

Tiga nelayan berkenaan merupakan antara lima rakyat Malaysia kru kapal tunda Serudong 3, yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai tahun lalu.#sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top