pahangdaily pahangdaily Author
Title: Petani Cameron, Anjurkan Protes Duduk Dan Bantah Di Pejabat MB Pahang
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR:  Sekumpulan petani kecil merancang mengadakan protes duduk dan bantah di luar pejabat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adn...
KUALA LUMPUR: Sekumpulan petani kecil merancang mengadakan protes duduk dan bantah di luar pejabat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bulan depan, selepas mendakwa dipinggirkan dan dibuli kerajaan negeri dalam usaha mendapatkan hak milik tanah kekal di Cameron Highlands.
“Cukuplah sudah ratusan surat menyurat, puluhan memorandum dan perbincangan dalam tempoh 10 tahun lepas dilakukan. Tiba masanya kami mengadakan protes duduk dan bantah di Wisma Sri Pahang pada 23 Mei depan,” kata Setiausaha Jawatankuasa Tanah, Rumah dan Gerai (JTGR) Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suresh Balasubramaniam.
Suresh berkata, sehingga kini kerajaan Pahang gagal menyelesaikan masalah pemilikan tanah kecil melibatkan lebih daripada 1,000 penduduk dan golongan petani.
Menurutnya, kerajaan negeri melayan kumpulan itu seperti zaman feudal.
“Sudah 60 tahun Malaysia merdeka tetapi isu pemilikan tanah di Cameron Highlands dilayan oleh kerajaan Pahang seperti zaman feudal malah lebih daripada 1,000 yang belum dapat tanah nak milik kekal termasuk petani, kawasan penempatan dan kawasan tapak perniagaan.”
Menurut Suresh, PSM sudah memperjuangkan isu ini sejak 2008.
“Pelbagai janji manis telah diberikan oleh Adnan, malah masa protes dan insiden kejadian penangkapan di hadapan Wisma Sri Pahang pada 10 Julai 2012, menteri besar mengatakan semua masalah pemilikan tanah akan diselesaikan dalam masa 6 bulan.
“Namun selepas itu hanya 1 kes sahaja diselesaikan,” katanya kepada media di pejabat PSM.
Suresh berkata selain isu pemilikan tanah kekal, lebih 500 Lesen Pendudukan Sementara (LPS) petani kecil melibatkan kawasan Ringlet dan Lembah Bertam tidak diperbaharui sejak 2015.
“Bukankah petani-petani ini dipaksa hidup dibawah belas kasihan kerajaan Pahang dan Adnan Yaakob?” soalnya.
PSM turut mendakwa kerajaan Pahang lebih mengutamakan syarikat swasta untuk memajukan kawasan pertanian berbanding penduduk dan petani asal kawasan terbabit.
“Apabila syarikat swasta memerlukan tanah, kerajaan Pahang boleh mewartakan keluar 33 hektar dari Hutan Simpan Kekal Hulu Bertam, kerajaan Pahang boleh menjual kem Askar Brinchang apabila kawasan berkenaan diperlukan syarikat swasta untuk projek komersil,” katanya.
Sehubungan itu, PSM bersama petani dan penduduk kawasan Cameron Highlands akan mengadakan bantahan dan menyerahkan memorandum sekali lagi di hadapan pejabat Adnan pada 23 Mei ini.
Katanya, pihaknya juga tidak menolak akan membawa kes tersebut kepada pihak mahkamah sebagai jalan terakhir.
“Kami ada bincang dengan peguam kami tapi belum ada keputusan konkrit, tapi kami percaya aksi rakyat melalui bantahan sebegini ia lebih konkrit dan dapat beri tekanan kepada kerajaan,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

jalilnor said... Friday, April 21, 2017 8:24:00 PM

C.Highlands adalah kawasan tadahan hujan yang menakung air untuk DAM HIDRO untuk membekal tenaga letrik ke seluruh negara. Asalnya ia bukan untuk dijadikan kawasan penempatan secara besar-besaran seperti yang ada sekarang. Sebab itu ia diberikan Lesen Sementra untuk bercucuk tanam dan tidak pernah dijanjikan untuk memberi milik tetap semua tanah tanah kebun ini.
Jangan ingat semua tanah mesti diberi hakmilik kekalllllllll

 
Top