pahangdaily pahangdaily Author
Title: Rafizi Gesa "Adam Rosly" Bercuti, Dari Jawatan & Isytihar Hartanya
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Rafizi Ramli mahu Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly mengisytiharkan harta, dan bercuti dari jawatan parti sehingg...
PETALING JAYA: Rafizi Ramli mahu Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly mengisytiharkan harta, dan bercuti dari jawatan parti sehingga perbicaraan kesnya diputuskan.
Langkah itu perlu diambil supaya PKR tidak terheret ke dalam dakwaan berkaitan “kekayaan luar biasa” yang dihadapi Adam.
Naib presiden PKR hari ini berkata kepimpinan parti menjarakkan parti daripada “kemelut peribadi” Adam memandangkan pilihan raya umum ke-14 yang selewat-lewatnya perlu diadakan tahun depan boleh dipanggil bila-bila masa mulai sekarang.
Rafizi berkata pendakwaan terhadap Adam, 28, yang bergelar “Datuk”, menjadi bahan serangan musuh politik PKR.
Ahli Parlimen Pandan berkata pendiriannya tidak berubah sejak November tahun lepas apabila beliau meminta Adam mengisytiharkan harta “secepat mungkin”.
“Saya masih berpendapat saudara Adam boleh menjernihkan keadaan supaya tidak mengheret PKR ke dalam kemelut peribadi beliau dengan mengisytiharkan harta secepat mungkin.”
Beliau berkata keadaan berbeza sekarang kerana keengganan Adam mengisytiharkan harta menjejaskan nama baik PKR, apabila media yang rapat dengan BN menggunakan pertuduhan terhadap Adam sebagai bukti PKR pun terpalit dengan rasuah dan penyelewengan.
“Oleh sebab itu juga saya dan rakan-rakan pimpinan yang lain akan mengusulkan supaya satu tindakan diambil yang boleh menjarakkan kemelut peribadi beliau dari mengheret PKR dan Pakatan Harapan,” katanya.
Pada 21 April lepas, Adam didakwa di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haran dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) kerana memberikan keterangan dan dokumen palsu.
Adam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan ke atas “kekayaan luar biasa” beliau.
SPRM turut menyita banglo RM1.2 juta milik Adam dan 5 kereta mewah.
Akaun bank miliknya dan isteri yang mempunyai RM212,000 juga dibekukan.
Kekayaan Adam mengundang perhatian masyarakat selepas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos mendakwa pemimpin PKR itu memiliki sebuah banglo dan beberapa kereta mewah.
Adam menafikan sebarang salah laku, dan berkata pendapatannya hasil daripada perniagaan dan harta warisan.
Rafizi berkata PKR mesti dilihat tegas dan berpegang kepada piawai moral dan keamanahan yang jauh lebih tinggi berbanding parti lain.
Beliau berkata Adam perlu bercuti dari jawatannya atau melalui kaedah lembaga displin, seperti yang disuarakan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali.
Rafizi menepis kebimbangan mengatakan mengambil cuti akan menjadi teladan kepada mana-mana pemimpin yang didakwa di mahkamah.
Beliau berkata kes Adam berbeza dengan perancangan jahat untuk mendakwa individu dalam kes yang tidak bersifat kepentingan peribadi, seperti mendedahkan dokuman rahsia rasmi demi membela rakyat.
Rafizi berkata kes seperti itu berbeza dengan kes peribadi bila mana seorang penjawat dalam parti tidak dapat menerangkan kekayaannya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top