pahangdaily pahangdaily Author
Title: TMJ "Dedah" FAM Hadapi Masalah Kewangan, Kekurangan RM40 Juta !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
JOHOR BAHRU: Selepas 10 hari menduduki ‘kerusi panas’ Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan krisi...
JOHOR BAHRU: Selepas 10 hari menduduki ‘kerusi panas’ Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan krisis kewangan menjadi masalah besar kepada badan induk bola sepak negara.
Beliau berkata keadaan kewangan FAM yang “sakit” menjejaskan pelaksanaan perancangan dan perubahan yang hendak dibawa bagi merubah senario bola sepak negara seperti yang diharapkan oleh peminat dan rakyat.
“Semasa saya masuk hari pertama sebagai presiden baharu FAM, dengan sut bersedia untuk memulakan tugas. Saya buat pemeriksaan, saya dapatkan semua fail, saya panggil semua berjumpa saya…FAM tiada wang.
“Anda tahu berapa kekurangannya? Kurang RM40 juta. FAM tiada wang. Bagaimana hendak kendalikan liga? Bagaimana hendak urus pasukan kebangsaan, hendak tukar jurulatih baharu, hendak beli barang (keperluan pasukan)?
“Sudah pasti tiada siapa yang mempunyai jawapan. Okey, saya tidak mahu gusar mengenainya. Saya mahu terus ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan bersama lebih 40 pengamal media terdiri daripada ketua pengarang dan pengarang sukan media tempatan di Bangunan Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Kekurangan wang itu menjelaskan beberapa tindakan yang sudah dan akan diambil Tunku Ismail bagi menyelamatkan kedudukan kewangan FAM termasuk menamatkan perkhidmatan 20 kakitangan pentadbiran dan teknikal FAM.
Tunku Ismail berkata beliau tidak mempunyai niat menutup ‘periuk nasi’ mana-mana pihak seperti yang digembar-gembur dalam laman sosial.
“Mereka (orang ramai dan peminat) perlu tahu apa yang kita boleh buat dan apa yang kita tidak boleh buat.
“Kita kena realistik. Jadi, untuk struktur semula organisasi, kenapa perlu belanja lebih untuk bayar staf yang tidak buat sebarang kerja dan bazirkan duit FAM,” katanya.
Tunku Ismail berkata keutamaannya adalah untuk melindungi wang dan aset milik FAM sehingga terpaksa memberhentikan 20 petugas itu.
Menurutnya media harus memahami dan mendedahkan perkara positif berkenaan keutamaan menjaga hak dan duit persatuan, bukan untuk aniaya sesiapa atau menyekat rezeki orang.
“Ia bercanggah dengan niat saya. Saya berpendapat keutamaan harus diberi kepada persatuan,” katanya.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan media semalam, mengesahkan 20 kakitangan badan induk itu ditamatkan perkhidmatan, sebagai langkah menyusun semula organisasi berkenaan dengan tujuan menjaga dan mengawal kewangan FAM.
Sementara itu, Tunku Ismail berkata FAM sedang mengadakan perbincangan penajaan bersama Zenith dan Fox Sport untuk tajaan siaran rasmi perlawanan membabitkan pasukan negara.
“Saya sedang berusaha keras mencari penaja bagi pertengahan musim tahun ini, tahun depan dan tahun-tahun akan datang,” katanya.
Tunku Ismail turut menegur persatuan bola sepak negeri dan kelab yang sanggup berbelanja mewah untuk mendapatkan khidmat pemain import berbanding menggunakan khidmat pemain tempatan.
“Terpulang kepada mereka (untuk belanja tinggi) tapi saya harap mereka lebih konsisten. Sebab ada pasukan yang masih berhutang dengan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) pun masih boleh beli pemain import baharu,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top