pahangdaily pahangdaily Author
Title: Warga Emas "Berhimpit" Di Dalam Pondok Bersama Ahli Keluarganya
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN:  Seorang warga emas bersama dua anak, menantu serta tiga cucu terpaksa berteduh dalam sebuah pondok di atas tanah rezab sungai...

KUANTAN: Seorang warga emas bersama dua anak, menantu serta tiga cucu terpaksa berteduh dalam sebuah pondok di atas tanah rezab sungai, berdekatan kilang papan Batu 8 Jalan Gambang sejak hampir dua bulan lalu.

Fatimah  Mahmud, 63, berkata, dia terpaksa mencari penempatan sementara buat keluarganya disebabkan  kesempitan wang sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, dia dan keluarga terpaksa berpindah  terus terus tinggal  di situ kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

“Saya duduk rumah ni, baru sebulan lebih bersama dua anak lelaki, dua menantu perempuan dan tiga orang cucu berumur dua bulan hingga  10 tahun.
“Sebelum ini, kami menyewa dekat Bukit Rangin. Walaupun rumah kampung tapi disebabkan tak mampu bayar sewa selepas suami meninggal dunia Disember lepas, kami pindah ke sini.

“Dulu boleh juga bersama suami cari kotak untuk dijual, sekarang semput dan lemah lutut jadi duduk di rumah saja jaga cucu,” katanya.

Fatimah ditemui selepas menerima  kunjungan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan guru sekolah SK Bukit Rangin dalam usaha memberikan bantuan terhadap keluarga berkenaan.

Dalam pada itu, dua anak lelaki yang tinggal bersamanya baru mendapat pekerjaan di kawasan pelabuhan sebagai pengawal keselamatan, manakala seorang daripada menantu mengalami sakit yang sukar bergerak.

Fatimah juga dikatakan mempunyai tiga lagi anak tinggal secara berasingan.

Tambah menyedihkan, cucu yang berusia dua bulan yang dijaganya itu masih belum didaftarkan sijil kelahiran atas alasan kad pengenalan bapanya telah hilang.

Menurutnya, keadaan rumah jauh ke dalam hutan yang terpaksa merentasi laluan tempat penyimpanan balak menyukarkan keadaan mereka untuk keluar sama ada mendapatkan bekalan makanan, bekerja dan bersekolah.

“Dari dulu memang berharap dapat tinggal di rumah lebih baik. Sekarang pondok ni hanya muat-muat saja untuk kami. Dalam keadaan terdesak kami terima saja dulu pondok yang diberikan bekas menantu untuk diduduki.

“Tempat ni jauh dari kawasan perumahan orang lain dan langsung tak ada bekalan api dan air, cuma berharap pada sungai dan generator.

“Kalau boleh nak mohon Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebab nak juga tengok cucu-cucu dapat keperluan macam orang lain dan yang penting boleh pergi sekolah," katanya.

Tambahnya, semenjak tinggal di kawasan berkenaan, cucunya, Syukri Alias Jasni, 10, tidak hadir ke sekolah disebabkan tidak mampu.

Sementara itu, Guru Kaunseling SK Bukit Rangin, Fazrin Fauzi berkata, pelajar yang dijaga oleh neneknya itu tidak hadir ke sekolah sejak berpindah  kira-kira hampir dua bulan.

“Pihak sekolah dapati, cucu yang dijaga makcik ini tidak hadir ke sekolah dalam jangka masa yang lama iaitu selama lebih kurang 45 hari.

“Kami guru-guru cuba hubungi keluarga dan setelah disiasat kami dapati keadaan keluarganya serba kekurangan dan jarak rumah sekarang terlalu jauh dari sekolah,” katanya.

Menurutnya, pelajar tahun empat berkenaan tidak mempunyai masalah pembelajaran dan disiplin tetapi hanya keadaan kesempitan hidup yang menyebabkan dia tidak hadir ke sekolah.

Terdahulu, pihak sekolah telah memaklumkan kesusahan yang ditanggung keluarga itu kepada JKM untuk mendapatkan bantuan. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top