pahangdaily pahangdaily Author
Title: Zaid Beritahu Rakyat Di Kelantan, PRU Bukan Untuk 'Memilih' Guru Agama
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Bekas ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Zaid Ibrahim percaya anak muda di Kelantan yang sudah hampir 30 tahun ditadbir PAS p...
PETALING JAYA: Bekas ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Zaid Ibrahim percaya anak muda di Kelantan yang sudah hampir 30 tahun ditadbir PAS perlukan perubahan politik untuk keluar dari kitaran kemunduran.
Zaid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata Kelantan mundur dari segi ekonomi, pemikiran dan budaya tetapi kerajaan negeri PAS masih “hanya bercakap mengenai Akta 355, baiah, poligami serta bangga menangkap wanita memakai baju ketat”.
“Negeri ini sudah terlalu lama hambar dan terbiar,” katanya berucap di Konvensyen Anak Muda Kelantan di Kota Bharu 15 April lepas.
“Pemimpin yang ada sibuk dengan hukum hakam dan menjual balak dan tidak terdaya memikirkan bagaimana untuk menambah dana negeri. Mereka tidak peduli gejala sosial seperti dadah dan perceraian tidak terkawal.
“Mereka tidak ada usaha lain untuk mentadbir dengan baik, menentang rasuah, tidak mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan yang cukup atau menyelesaikan masalah banjir.”
Zaid melahirkan rasa kesal kerana negeri yang dikenali “Serambi Mekah” itu akan terus kotor, dihimpit pengangguran dan “pasar malam sahajalah tempat rakyat mencari rezeki”.
“Rakyat tidak menentu tujuan dan haluan hidupnya,” tambahnya. “Mereka menjadi tidak bersemangat dan selalu diajar perkara yang karut.
“Pemimpin PAS mahu mereka terus mundur supaya takut dengan ajaran mereka dan buta tuli akur dengan propaganda mereka.”
Zaid berkata muda Kelantan berhak mendapatkan tawaran baharu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Pilihan raya ini bukan tempat kita pilih guru agama. Kita telah ada terlalu banyak guru dan penceramah agama. Tontonlah TV, Youtube atau dengarlah radio, semuanya ada di sana,” kata Zaid.
Beliau menggesa anak muda negeri itu melakukan perubahan dengan memilih pemimpin ditawarkan Pakatan Harapan, seperti bekas exco Kelantan yang kini sebahagian daripada Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa.
“Impian anak muda terbengkalai jika PAS masih memerintah negeri ini,” kata Zaid.
Oktober lepas, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob membentangkan belanjawan defisit RM42.65 juta, dengan anggaran RM679.63 juta untuk belanja mengurus dan RM281.61 juta untuk belanja pembangunan.
Perolehan hasil dianggarkan RM636.98 juta, dengan hasil hutan menjadi penyumbang terbesar (RM177.20 juta), meningkat RM4.25 juta, diikuti hasil tanah (RM157.91 juta) dan hasil perlombongan (RM70 juta).
Kerajaan negeri baru-baru ini dibidas kumpulan Orang Asli dan NGO hak asasi kerana membenarkan pembalakan di tanah yang diduduki penduduk itu. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top