pahangdaily pahangdaily Author
Title: Zunar: Penggunaan Watak Haiwan Ialah Perkara Biasa Dalam Kartun !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Kartunis kontroversi Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar berkata penggunaan watak haiwan dalam karya kartun adalah perkara ...
PETALING JAYA: Kartunis kontroversi Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar berkata penggunaan watak haiwan dalam karya kartun adalah perkara biasa untuk memudahkan kartunis menyampaikan mesejnya.
“Lebih mudah melukis sesuatu objek sebagai haiwan, malah saya berbuat demikian dalam kerja saya,” katanya mengulas kemarahan PAS selepas sebuah akhbar berbahasa Cina menerbitkan kartun yang menggambarkan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, seekor monyet.
“Sebagai contoh, saya melukis perdana menteri sebagai musang, ia tidak bermaksud perdana menteri itu musang,” kata Zunar, yang terkenal dengan kartun politiknya yang mengundang tindakan pihak berkuasa.
Semalam, Nanyang Siang Pau memohon maaf kepada Hadi dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, susulan kecaman daripada PAS terhadap kartun bertajuk “Akta Drama Monyet”.
Ia memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk kepada rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
“Hadi Awang” dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmati juadah “keledek panas”, manakala “speaker” melompat dari pokok itu, sambil berkata: “Simpan untuk hari kemudian”, sambil sekumpulan monyet bertekak di bawah pokok berkenaan.
Kartun itu merupakan gambaran sinis terhadap sesi Dewan Rakyat pada Khamis lalu, yang mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa wakil rakyat pembangkang selepas Pandikar menangguhkan sidang sebelum memberikan ruang RUU itu dibahaskan.
Zunar berkata Nanyang Siang Pau tidak menyamakan Hadi dan Pandikar sebagai monyet, dan berpandangan ia tidak melanggar etika kerana tidak mengaibkan sesiapa.
“Kartun itu menggambarkan seekor monyet menawarkan sepinggan keledek panas.
“Mesej di sebaliknya menggambarkan Hadi membentangkan rang undang-undang meminda RUU 355, manakala Pandikar masih enggan menangani isu itu,” katanya.
Sementara itu, Sukhbir Cheema, editor bersama laman web seni, Eksentrika, bersetuju kartun “monyet” itu tidak melanggari etika.
“Secara peribadi, saya tidak nampak apa-apa yang salah dengannya kerana Hadi dan speaker bukan nabi.
“Jika mereka nabi, kartun itu dianggap tidak menghormati mereka,” katanya.
Sukhbir berkata, ilustrasi itu dengan tepat menggambarkan isu RUU 355.
“Apabila saya melihat kartun ini, saya faham apa yang kartunis cuba sampaikan iaitu kedua-dua individu bermain-main.”
Beliau berharap Hadi dan Pandikar bertindak balas terhadap kartun itu melalui gambar ilustrasi lain, dan bukannya mengadakan protes yang akan hanya meningkatkan jualan akhbar itu. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top