pahangdaily pahangdaily Author
Title: David Teo: "Pelik", Saya Yang Kena Tampar Saya "Kena Minta Maaf" ?
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Penerbit filem, Datuk David Teo yang ditampar seorang pelakon semalam mempersoalkan logik di sebalik tuntutan 2 NGO untu...
PETALING JAYA: Penerbit filem, Datuk David Teo yang ditampar seorang pelakon semalam mempersoalkan logik di sebalik tuntutan 2 NGO untuk beliau memohon maaf kepada rakyat Malaysia dalam tempoh 3 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) itu berkata: “Dunia yang pelik. Seseorang tampar saya, tetapi saya perlu minta maaf kepada dia dan orang ramai?”
Beliau merujuk kekecohan yang berlaku di Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Datuk Seri Najib Razak yang dipengerusikan pelakon, Datuk Rosyam Nor di Putrajaya, semalam.
Kejadian itu bermula daripada tindakan Teo mempersoalkan Rosyam tidak memberi peluang kepada hadirin di barisan belakang mengajukan soalan kepada Najib.
Selepas Rosyam membuka ruang kepada Teo untuk bertanya soalan, pelakon veteran – Sulaiman Yassin yang lebih dikenali sebagai Mat Over tiba-tiba muncul dan menampar Teo. Pasukan keselamatan segera meleraikan pergelutan itu dan mengiringi mereka berdua keluar dari dewan di Seri Perdana.
Insiden itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook semalam. Najib kemudiannya dilihat menenangkan keadaan dengan berkata “Relaks, relaks”.
Teo yang menerbitkan lebih 100 filem tempatan dipetik Harian Metro sebagai berkata, beliau tidak mengenali Mat Over dan tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana sudah memaafkannya.
Mengulas lanjut, Teo berkata, Najib sudah menerima permohonan maafnya dan kes itu selesai malam tadi di tempat kejadian.
“Jadi, tiada keperluan untuk saya memohon maaf sekali lagi, melainkan perdana menteri mahu saya berbuat demikian. Tetapi, saya sudah jelaskan kepada beliau yang saya hanya terkejut dengan apa yang berlaku.”
Dalam pada itu, Teo menafikan dakwaan Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju kononnya beliau ialah tali barut DAP dan dibayar parti pembangkang untuk mengganggu Dialog TN50 semalam.
Katanya, beliau akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ali Tinju, selepas berunding dengan peguam.
“Saya sudah menjadi seorang ahli perniagaan lebih 17 tahun. Wang saya datang daripada filem yang menjadi box office dan jualan tiket.
“Dan saya tidak mempunyai latar belakang politik atau hubungan dengan mana-mana parti politik. Saya hanya seorang ahli perniagaan,” katanya.
Teo juga meminta mereka yang mendakwanya kurang ajar terhadap Najib supaya menonton rakaman video insiden itu dengan teliti sebelum menuduhnya.
Ini kerana, tegasnya, beliau sedang bercakap dengan Rosyam apabila Mat Over tiba-tiba muncul dan menamparnya.
“Saya belum pun mula tanya Perdana Menteri ketika itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daedah Putrajaya, ACP Rosly Hassan dilaporkan berkata, setakat ini, 2 laporan polis berhubung kejadian tampar itu diterima, dengan 1 daripadanya dibuat orang awam di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur dan 1 lagi laporan dibuat pihak polis sendiri di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
“Pihak polis sendiri membuat laporan polis kerana tiada pihak yang tampil membuat laporan sehingga tengah hari tadi, memandangkan video kejadian itu telah tular di media sosial.
“Pada 1 tengah hari, barulah ada 1 laporan polis dibuat oleh orang awam yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu di Pudu,” katanya pada sidang media hari ini yang dilaporkan Bernama.
Rosly berkata, pihaknya akan menghantar laporan kepada timbalan pendakwa raya esok bagi mendapatkan arahan untuk menyiasat, sebelum memanggil individu terbabit dan saksi kejadian untuk memberi keterangan dalam masa terdekat. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top