pahangdaily pahangdaily Author
Title: "Majlis Jemaah Pengampunan" Pahang Perkenal Kaedah "Diyat"
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN:  Majlis Jemaah Pengampunan negeri bercadang melaksanakan kaedah Diyat atau pengampunan daripada waris mangsa sebagai alternatif ...

KUANTAN: Majlis Jemaah Pengampunan negeri bercadang melaksanakan kaedah Diyat atau pengampunan daripada waris mangsa sebagai alternatif terhadap hukuman dikenakan ke atas pesalah yang disabitkan hukuman mati. 

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah Majlis Jemaah Pengampunan negeri akan mengambil kira kaedah itu dalam pelaksanaan sistem pengampunan dengan merujuk kepada keluarga mangsa dalam kes tertentu. 

"Amalan dilaksanakan selama ini adalah apabila seseorang itu dihukum kerana membunuh, dia boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup. 

"Perkara ini sudah dibincang dan akan kita laksanakan dalam mesyuarat Majlis Jemaah Pengampunan negeri akan datang. 

"Kaedah yang kita cadangkan ini akan memberi peluang bagi pesalah merujuk kepada keluarga mangsa untuk mendapat Diyat (ganti rugi) atau diberi pengampunan, bergantung kepada kes (kesalahan)," titah baginda selepas Majlis Pentauliahan Peguam Syarie negeri di sini, hari ini. 

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman. Tengku Abdullah bertitah, kaedah yang dibenarkan dalam undang-undang Islam itu memberi alternatif kepada banduan membuat rayuan, contohnya untuk mendapat pelepasan daripada hukuman mati. 

Titah baginda, pelaksanaan kaedah itu tidak hanya tertakluk kepada masyarakat Islam tetapi membabitkan semua kaum di negeri ini. #sumber

Advertisement

 
Top