pahangdaily pahangdaily Author
Title: Mufti Wilayah "Memohon Maaf" Bonceng Motosikal Tanpa Pakai Topi Keledar
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Dalam memperlihatkan teladan yang positif, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri memohon maaf k...
PETALING JAYA: Dalam memperlihatkan teladan yang positif, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri memohon maaf kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis  kerana melanggar peraturan jalan raya – membonceng motosikal tanpa menggunakan topi keledar.

Dalam permohonan maaf yang dibuat menerusi FB, kata Zulkifli, beliau terpaksa berbuat demikian kerana terlibat dalam program cerapan anak bulan Ramadan di Menara Kuala Lumpur semalam.
“Mungkin ada yang ternampak kami membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar sebentar tadi (semalam).”
Gambar beliau membonceng turut mengiringi permohonan maaf yang dibuat.
Semalam adalah hari melihat anak bulan. Umat Islam di Malaysia berpuasa mulai hari ini.
Dalam mesej yang dimuat naik lewat petang semalam, kata beliau: “Memandangkan jalan raya agak sesak dan tidak mahu menyusahkan penganjur dan kelancaran majlis kerana terperangkap di jalan raya, keputusan diambil untuk membonceng motosikal ini.”
Sehubungan itu kata Zulkifli, beliau memohon maaf kepada JPJ dan polis di atas tindakan tidak memakai topi keledar.
“Justeru, kami ingin melafazkan permohonan maaf kepada pihak PDRM dan JPJ atas tindakan ini.
“Diharapkan tidak timbul salah faham di atas tindakan yang telah dilakukan,” kata beliau yang mengakhiri mesej dengan “selamat menyambut Ramadan.”
Sikap beliau merendah diri dan mengakui kesalahan itu mendapat pujian daripada pengikut-pengikut FB beliau.
Seorang pengikut bernama Mohd Ifzad berkata, tindakan permohonan maaf dibuat oleh mufti Wilayah Persekutuan adalah teladan yang baik kepada semua.
“Akhlakmu tuan mufti, menjadi contoh dan tauladan yang sangat baik, cantik dan berbudi, terima kasih kerana meneladani kami dengan akhlak yang sebegini,” katanya.
Seorang lagi pengikut, Dyard Dagang berkat, mufti itu adalah layak untuk menggunakan perkhidmatan pengiring atas dasar telah membuat banyak sumbangan kepada agama.
“Di tempat saya ada seorang VIP. Hari-hari polis iringi kereta dia bila keluar rumah. Terlalu besar jasa Datuk Mufti untuk Islam. Terlalu banyak masa Datuk Mufti dikorban untuk agama Ini. Sepatutnya Datuk Mufti lah yang perlu diiringi.” #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top