pahangdaily pahangdaily Author
Title: Polis Kedah Tahan Lelaki Terlibat Penipuan Forex Nilai RM3.5 Juta !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
JITRA: Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan selepas terbabit dalam kes penipuan skim pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) m...

JITRA: Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan selepas terbabit dalam kes penipuan skim pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) membabitkan kerugian mencecah RM3.5 juta di sekitar negeri Kedah.

Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Sahabudin Manan berkata suspek ditahan di hadapan sebuah bank di Kota Sarang Semut kira-kira 4.30 petang Isnin dan polis merampas dua keping kad ATM serta sebuah telefon bimbit jenis Huawei milik suspek.

"Semalam (Isnin) kita mendapat aduan daripada seorang mangsa lelaki berusia 24 tahun yang mendakwa telah melaburkan wang sebanyak RM50,000 kepada suspek," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini Selasa.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah memperdaya mangsa dengan menjanjikan pulangan 50 peratus daripada jumlah wang yang dilaburkan setiap dua minggu, namun sehingga kini, pelabur-pelabur belum menerima keuntungan yang dijanjikan.

Suspek dikatakan baru sahaja menjalankan aktiviti penipuan itu dan sehingga kini lebih 10 orang telah menjadi mangsa dan polis percaya lebih ramai lagi yang belum tampil membuat laporan.

"Suspek juga tidak mengiklan atau mempengaruhi mangsa melalui laman sosial seperti Facebook, tapi kita percaya ia lebih daripada kaedah mulut ke mulut," kata Shahabudin.
Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan skim-skim pelaburan yang menjanjikan pulangan mewah dalam masa yang singkat.

Suspek yang berasal dari Sungai Limau, Yan, direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Sik Supt Mohd Ismail Ibrahim dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, menggantikan DSP Chan Keat Seng yang memangku jawatan itu sejak 28 Mac lalu.

Chan memangku jawatan itu berikutan kematian Supt Abd Hadi Hassan pada 27 Mac lalu akibat serangan jantung.

Majlis serah terima tugas yang berlangsung di bilik mesyuarat IPD Kubang Pasu itu disaksikan Sahabudin sendiri. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top