pahangdaily pahangdaily Author
Title: Sumbangan Ke Masjid Bertambah, Bukti Kemajuan Ekonomi Melayu !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Kemajuan ekonomi Bumiputera yang dicapai Malaysia hari ini adalah hasil pelaksanaan dasar dan strategi lebih telus, terbu...
KUALA LUMPUR: Kemajuan ekonomi Bumiputera yang dicapai Malaysia hari ini adalah hasil pelaksanaan dasar dan strategi lebih telus, terbuka serta seimbang oleh kerajaan ditunjangi Umno sejak kepimpinan bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Ahli Parlimen Johor Bahru yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu berkata, pendekatan yang dibawa pemimpin sekarang mementingkan persaingan dan prestasi, bukan lagi teori “limpahan” atau kronisme.
Menurutnya, model ekonomi sebelum ini yang dibawa ke Malaysia adalah daripada konsep Korea Selatan dikenali “chaebol”, iaitu korporat yang dimiliki dan dikawal ahli keluarga serta kroni yang dikatakan menjadi penggerak ekonomi Korea Selatan.
“Di bawah konsep penswastaan, individu kaya atau tokoh-tokoh korporat diberi kekuatan ekonomi untuk menerajui ekonomi negara melalui teori limpahan ini. Jika dilihat kembali, fokus teori ini hanya terhad kepada pembangunan Kuala Lumpur sebagai sebuah metropolis dan segala kemewahan yang dihasilkan hanya melimpah ke kawasan berdekatan.
“Sebab itulah apabila kepimpinan beralih kepada Abdullah, beliau kembali kepada pembangunan seimbang yang dibawa oleh perdana menteri ke-2, Tun Abdul Razak Hussein yang melaksanakan pembangunan di wilayah, bandar serta ibu negeri di negara ini,” katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata, dasar ekonomi Abdul Razak itu diteruskan pula Najib yang bukan setakat mahu memastikan kemajuan semua wilayah, malah mahu melihat kejayaan usahawan dan peniaga Melayu dan Bumiputera terus dilonjak ke tahap lebih baik atas usaha dan kerja keras sendiri.
“Sekarang tidak lagi timbul tuduhan dan isu kronisme…jika saya bertanya mana-mana individu hari ini ‘siapakah kroni Datuk Seri Najib’, mereka akan mengambil masa untuk menjawab. Ini bermakna kepimpinan ini jelas dan berjaya ke hadapan berdasarkan acuan tersendiri tanpa mengikut telunjuk mana-mana negara asing,” katanya.
Shahrir berkata, antara bukti kemajuan ekonomi masyarakat Melayu dan Islam yang kian meningkat di negara ini ialah menerusi hasil sumbangan kepada masjid pada hari Jumaat di seluruh negeri yang semakin bertambah nilainya.
“Jika 5 tahun lepas, nilai sumbangan hari Jumaat sebanyak RM900, tetapi kini ia boleh mencecah RM5,000 hingga RM10,000 seperti di kawasan Johor Bahru.
“Selain itu, jumlah pembayaran zakat turut meningkat di setiap negeri. Di Johor misalnya, saya dimaklumkan 5 tahun dulu jumlahnya dalam lingkungan RM80 juta, namun kini mencapai RM220 juta hingga RM250 juta dari tahun ke tahun.
“Senarai menunggu orang Melayu yang mahu menunaikan ibadah haji juga meningkat dari tahun ke tahun, iaitu melebihi 30,000 orang setiap tahun. Itu belum lagi senarai mereka yang mengerjakan umrah iaitu mencecah ratusan ribu orang setiap tahun.
“Itu merupakan indeks atau indikator ekonomi yang jelas menunjukkan ekonomi Melayu yang diketuai Umno dalam kerajaan hari ini adalah amat berbeza berbanding dulu kerana perkara ini dilaksanakan atas dasar kemampuan dan keikhlasan, bukannya sesuatu yang wajib jika tidak mampu,” katanya.
Beliau turut menyentuh perkembangan ekonomi Islam yang semakin maju seperti kewangan dan perbankan Islam, insurans takaful, fesyen muslimah, makanan halal serta perkhidmatan lain berasaskan patuh syariah yang terus mendapat sambutan serta menjadikan Malaysia sebuah negara unik.
Malah, kejayaan segmen tersebut turut diketengah dalam talian, sekaligus memberi pendedahan kepada usahawan mengenai kehendak pasaran, pengetahuan, pembungkusan, logistik, pemasaran serta aspek dasar dan strategi tertentu yang perlu dimiliki untuk terus maju.
“Kerajaan di bawah pimpinan Najib juga memberi fokus dalam membangunkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) dan ke peringkat seterusnya, iaitu kumpulan M40 (berpendapatan 40% sederhana) dan Malaysia adalah satu-satunya negara dengan konsep ini.
“Kita turut membawa pengasas (platform) e-dagang AliBaba, Jack Ma dalam pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital pertama di negara ini kerana kita memahami hakikat dunia digital ialah satu bidang yang boleh membawa manfaat jika dilihat dari sudut pandangan positif,” jelasnya.
Mengenai cabaran terbesar masa depan masyarakat Melayu, Shahrir menyentuh sikap orang Melayu yang enggan mengakui atau menerima hakikat kejayaan kerajaan pimpinan hari ini, malah menggunakan media sosial untuk menghakis kepercayaan rakyat serta menimbulkan keraguan terhadap pencapaian ekonomi negara pada masa ini.
Tegasnya, sukar untuk maju jika terus berfikiran negatif serta enggan menerima perubahan positif yang dibawa kerajaan menerusi pelbagai inisiatif untuk semua golongan rakyat, termasuk kalangan bukan Bumiputera.
“Sebenarnya ramai anak Melayu, anak Malaysia yang terlibat dalam dunia digital telah berjaya dalam perniagaan masing-masing kerana berniaga dalam talian ini tidak memerlukan kos banyak,” katanya.
Sehubungan itu, Shahrir berharap perkara baik sedemikian yang harus dikejar rakyat, bukannya momokan, hasutan dan cakap-cakap politik yang boleh merugikan diri sendiri.
“Untuk terus maju, kita perlu pertingkatkan tadbir urus dan kepimpinan organisasi yang menggerakkan modal Bumiputera, termasuk Pemodalan Nasional Bhd, Tabung Haji dan Khazanah Nasional.
“Selain itu, saya berharap dalam masa 20-30 tahun akan datang, ahli-ahli politik di negara ini akan lebih matang membahaskan isu yang boleh menambahbaik kesejahteraan rakyat dan bukannya isu yang tidak perlu,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top