pahangdaily pahangdaily Author
Title: Yeo Bee Yin: PAS Kini Semakin Ikut Rentak UMNO BN, Terus Salahkan DAP !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Sentimen ‘Semua salah DAP’ yang sering dimainkan UMNO-Barisan Nasional (BN) nampaknya kini menjadi ikutan sekutu barunya...

PETALING JAYA: Sentimen ‘Semua salah DAP’ yang sering dimainkan UMNO-Barisan Nasional (BN) nampaknya kini menjadi ikutan sekutu barunya, PAS.

PAS yang berdegil mahu kekal dalam kerajaan negeri Selangor walaupun sudah memutuskan kerjasama politik dengan PKR, mewajarkan tindakannya itu dengan memangsakan DAP.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dilaporkan berkata, parti Islam itu kekal dalam kerajaan negeri – yang dipimpin PKR – kerana kononnya mahu mengekang ‘kejahatan’ DAP.

Kecewa dengan kenyataan itu, Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin mempersoalkan sama ada DAP dijadikan sasaran hanya kerana PAS Selangor tidak mampu untuk mengikut keputusan yang dibuat pemimpin pusatnya.

“Adakah ini cara parti politik yang mengaku dirinya sebagai islamik? Di mana etika dan prinsip?” katanya dalam kenyataan.

Malah, katanya, alasan PAS untuk terus kekal dalam kerajaan negeri kononnya bagi menghormati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tidak lagi terpakai sejak parti itu memilih untuk mengkhianati kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
“PAS bukan sahaja mengkhianati rangka dasar bersama dalam Pakatan Rakyat, ia juga memutuskan kerjasama dengan bukan satu tapi dua rakan politik dalam Pakatan Rakyat.

“Justeru, apa lagi justifikasi moral yang ada bagi PAS untuk terus kekal dalam kerajaan negeri Selangor?” soalnya.

Kira-kira 5,000 ahli PAS memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan negeri.

Bee Yin yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor berkata, DAP tidak memerlukan PAS untuk kekal dalam kerajaan negeri dan melakukan perkara yang betul kepada rakyat.

“Jadi apa sebenarnya alasan untuk PAS terus kekal dalam kerajaan negeri? Adakah untuk terus menggunakan sumber kerajaan negeri untuk mengukuhkan sokongannya di Selangor dan akhirnya menikam kami dalam PRU akan datang?” soalnya.

Jika PAS Selangor mempunyai maruah dan masih ingat akan kerjasama dan persahabatan yang pernah terjalin sebelum ini, beliau justeru menggesa agar parti itu berhenti menyalahkan DAP dan bertindak selari dengan keputusannya yang memutuskan kerjasama politik dengan PKR. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top