pahangdaily pahangdaily Author
Title: Nik Abduh "Berdoa" Zaid Ibrahim Ingat Tuhan Di Saat Beliau Cemas
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berdoa supaya bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk ...

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berdoa supaya bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim diberi kesedaran mengingati dan berdoa kepada Tuhan ketika berdepan kecemasan seperti insiden menimpa pesawat AirAsia X di Australia, kelmarin. 

Beliau merujuk kritikan Zaid terhadap tindakan juruterbang AirAsia meminta penumpang berdoa supaya pesawat dalam perjalanaan Perth-Kuala Lumpur yang mengalami masalah teknikal itu dapat mendarat dengan selamat. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu berkata, Zaid tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan juruterbang itu kerana menjadi lumrah manusia berdoa kepada Tuhan memohon bantuan untuk selamat daripada musibah. 

“Seluruh penumpang kapal yang tak pernah ingat Allah pun akan mengangkat tangan berdoa memohon pertolongan dan pembebasan daripada kecelakaan, ia adalah fitrah (lumrah) manusiawi yang tersembul keluar dari dalam diri manusia hatta mereka yang hidup penuh alpa daripada mengingati Allah sekalipun. 

“Saat bersabung nyawa disapa takdir (diberi ujian) adalah saatnya Allah tunjukkan kepada manusia hakikat kehidupan. Mereka perlukan Allah. Allah-lah empunya langit bumi dan segala kejadiannya. “Saya doakan saatnya nanti, fitrah Zaid akan tersembul keluar. 

Biar Allah tunjukkan dengan hikmat-Nya bahawa untuk menagih harapan hidup dan umur lebih panjang, dia akan dipaksa fitrahnya untuk turut berdoa kepada Tuhannya,” tulisnya di Facebook. 

Semalam, Zaid menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan juruterbang itu ekoran masalah teknikal dialami pesawat AirAsia X penerbangan D7237 yang memaksa ia berpatah balik dan selamat mendarat di Perth pada jam 10 pagi Ahad lalu. 

Satu letupan dikatakan berlaku di enjin kiri selepas sebilah kipas turbin patah dan seorang penumpang menyifatkan pesawat “bergegar seperti mesin basuh” dan ramai penumpang terkejut dengan tindakan juruterbang meminta mereka berdoa supaya pesawat dapat mendarat dengan selamat di Perth.

“Saya lebih suka juruterbang tidak beritahu saya berada di ambang maut. Juruterbang harus memberi harapan, dan menyerahkan yang lain kepada Tuhan dan penumpang. Jika AirAsia memang suka berdoa, lantik imam dan paderi yang betul,” tulis Zaid di Twitter. 

Ramai pengguna Twitter membantah kritikan Zaid itu dan mempertahankan tindakan juruterbang terbabit. Ia termasuk Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang memuji tindakan juruterbang AirAsia itu kerana berdoa merupakan satu usaha, bukannya pesimis atau tanda berputus asa. 

Dalam pada itu, Nik Abduh mempersoalkan bilakah Zaid akan berdoa kepada Tuhan. “Saya cuba mengagak bila agaknya Zaid Ibrahim berdoa kepada Tuhannya? Bila saatnya?” soalnya sambil menyifatkan PAS dibenci orang Melayu kerana parti Islam itu mendidik ahli serta penyokongnya berdoa kepada Tuhan untuk memenangi pilihan raya umum. 

“Setakat ini, jawapan yang saya dapat ialah mengapa ada juga Melayu Muslim yang begitu marah dan bencikan PAS. Ya, kerana PAS mengajar ahlinya untuk sentiasa berdoa semoga PAS berjaya mara ke Putrajaya nantinya.” #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top