pahangdaily pahangdaily Author
Title: Pemuda BN Sarawak Pertahankan Karim, "Kecam" Kenyataan Nazri !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Pemuda BN Sarawak hari ini mempertahankan Menteri Pelancongan negeri itu dengan mengecam tindakan Datuk Seri Nazri Aziz m...
PETALING JAYA: Pemuda BN Sarawak hari ini mempertahankan Menteri Pelancongan negeri itu dengan mengecam tindakan Datuk Seri Nazri Aziz melabelkan Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah sebagai Menteri “setahun jagung” yang tidak berpengalaman.

Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan kenyataan menteri pelancongan dan kebudayaan itu sebagai kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN kerana memperlekehkan pemimpin parti komponen.
“Tindakan melabelkan menteri Sarawak itu sebagai ‘setahun jagung’ dan masih budak lagi adalah satu penghinaan terhadap Datuk Karim yang telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan negeri untuk menerajui kementerian berkenaan di peringkat negeri,” kata menteri kerja raya itu dalam kenyataan hari ini.
“Sebagai sebuah keluarga besar dalam BN, apa juga isu terutama menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN dan bukannya menerusi kenyataan umum atau hebahan media kerana ia boleh mencetuskan kemarahan nitizen.”
Karim sebelum ini dilaporkan berkata, pelaksanaan cukai pelancongan ialah contoh Putrajaya mengenakan undang-undang cukai ke atas Sarawak tanpa rundingan.
Kenyataan itu mengundang kemarahan Nazri yang berkata, Sarawak tidak mempunyai banyak hotel, oleh itu hasil cukai itu boleh menguntungkan negeri berkenaan.
“Anda tidak perlu bercakap besar dalam politik. Jika anda mahu menunjukkan samseng, kita adalah samseng lagi besar,” kata Nazri semalam yang menyifatkan Karim menteri “setahun jagung”.
Hari ini, Karim menasihati Nazri supaya lebih bersopan santun terutama pada bulan Ramadan dan soal pelancongan Sarawak tidak dibutirkan dalam Perjanjian Malaysia, oleh itu sebarang pelaksanaan perlu melalui rundingan.
Fadillah berkata, tindakan melabelkan pemimpin parti komponen BN sebagai samseng tidak wajar kerana ia adalah satu penghinaan kepada individu terbabit, selain boleh menjejaskan imej parti kerana samseng bukan budaya BN.
“Pemuda BN Sarawak berpendirian semangat saling menghormati dan permuafakatan antara pemimpin dalam parti komponen harus diutamakan dengan sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan dalam saluran parti yang harmoni.
“Dalam berdepan apa juga isu, Pemuda BN Sarawak berpendirian paling utama ialah semangat dalam sebuah keluarga besar iaitu keluarga BN, parti yang diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat, perlu dijunjung dan dipertahankan,” kata ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu.
Jumaat lalu, Nazri mengumumkan pelaksanaan cukai itu berkuat kuasa 1 Julai yang bakal menyaksikan bayaran tambahan RM2.50 hingga RM20 dikenakan hotel seluruh negara bagi penginapan semalaman.
Ia bagaimanapun dipersoalkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dengan berkata, banyak perkara masih kabur dan permintaannya untuk bertemu Nazri belum dipenuhi.
Ketika berbahas di Dewan Rakyat pada April lalu untuk meluluskan Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017, Nazri dilaporkan berkata, cukai pelancongan boleh memberi kutipan sebanyak RM654.62 juta, jika kadar penginapan bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top