pahangdaily pahangdaily Author
Title: Tengku Abdullah: "Imam Masjid", Hanyalah Mereka Yang Bertauliah !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
TEMERLOH: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mengingatkan bahawa hanya mereka yang mempunyai tauliah diben...

TEMERLOH: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mengingatkan bahawa hanya mereka yang mempunyai tauliah dibenarkan menjadi imam di masjid di negeri ini.

Tengku Abdullah bertitah perkara itu terkandung dalam persefahaman dan aku janji yang dimeterai antara baginda selaku Yang Dipertua Majis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan semua imam masjid di Pahang, setiap tahun.

“Beri kerjasama supaya masjid ditadbir dengan sebaik mungkin dan diimamkan oleh mereka yang bertauliah…yang benar-benar ingin menyatukan masyarakat. Itulah dikehendaki pemerintah khususnya ayahanda saya (Sultan Ahmad Shah) dan saya.

“Saya pandang berat pengurusan masjid kerana ini rumah Allah dan satu institusi yang tidak boleh dipermain-mainkan. Bayangkan jika kita tinggal di kawasan yang tidak bersatu, berpecah dan semua orang mahu menjadi imam?” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Masjid Baharu, Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan yang Memerlukan dan Majlis Berbuka Puasa di Kampung Ketam di sini hari ini, yang turut dihadiri Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Tengku Abdullah juga bertitah supaya mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan masjid melaksanakan amanah itu dengan serius supaya masjid tidak menjadi medan pergaduhan, perbalahan dan perbezaan pendapat.

“Tidak boleh dinafikan yang kita ini walaupun sama warna kulit dan rambut, tetapi boleh berbeza dalam soal akidah, ideologi dan pemikiran. Ini adalah tanggungjawab mereka (pengurusan masjid) untuk mengurangkan perbezaan ini.

“Tak perlu bergaduh atau marah sesama kita di saat Islam sedang dilihat, diperhatikan dan dinilai oleh satu dunia. Ini adalah kesilapan besar di saat media sosial menjadi medium penting untuk kita mendapatkan informasi,” titah baginda.

Pada majlis itu, Tengku Abdullah juga berkenan menerima zakat perniagaan daripada badan-badan korporat, antaranya Tenaga Nasional Berhad, Celcom, Maybank Islamic Berhad, Bank Rakyat dan Etiqa Takaful Berhad serta menyampaikan sumbangan kepada 600 penerima yang memerlukan.

Baginda juga berkenan menamakan masjid Kampung Ketam yang siap pada 13 Feb lalu, dengan kos RM4 juta dan boleh memuatkan 800 jemaah pada satu-satu masa, sebagai Masjid Sultan Haji Ahmad Shah. #sumber

Advertisement

 
Top