pahangdaily pahangdaily Author
Title: Abu Talib Othman: "Cabar" Lanjut Tempoh Hakim Tak Akan Berjaya !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Sebarang usaha untuk menentukan sama ada pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai ...
PETALING JAYA: Sebarang usaha untuk menentukan sama ada pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan tidak berpelembagaan tidak mungkin berjaya, kata bekas peguam negara.

“Tidak mungkin kerajaan akan menganggu pelantikan itu kerana kerajaan mengatakan ia menurut Perlembagaan,” kata Abu Talib Othman.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut.
Beliau mengulas kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam yang keputusan dan prosedur itu sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu berkata Raus dan Zulkefli dilantik hakim tambahan bagi mengekalkan mereka sebagai ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.
Raus akan terus memegang jawatan itu untuk 3 tahun lagi mulai 4 Ogos, manakala Zulkefli untuk 2 tahun lagi mulai 28 September.
Raus dijadualkan bersara 3 Ogos manakala Zulkefli 27 September, selepas mencapai usia 66 tahun.
Kenyataan itu berkata pelantikan mereka sebagai hakim tambahan mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.
Ia menambah pelantikan dibuat atas cadangan ketua hakim ketika itu, Tun Arifin Zakaria kepada Agong pada 30 Mac sebelum bersara.
Abu Talib, yang menjadi peguam negara antara 1980 dan 1993, berkata malang sekali pengekalan Raus dan Zulkefli memberi gambaran para hakim sedia ada di Mahkamah Persekutuan belum sedia diangkat.
Beliau juga bertanyakan mengapa pelantikan dibuat sebegitu rupa, yang akan dipertikaikan orang ramai.
“Mereka yang merasakan hak mereka terjejas boleh usaha mencari remedi, tetapi bagi saya ia tidak mungkin berjaya kerana ia dibuat mengikut Perlembagaan,” katanya.
Awal hari ini, bekas presiden Badan Peguam Zainur Zakaria berkata mengekalkan Raus dan Zulkefli menghantar mesej para hakim lain di Mahkamah Persekutuan tidak cukup wibawa untuk mengambil alih tempat mereka.
Dipercayai sekurang-kurangnya 8 hakim Mahkamah Persekutuan akan terlepas peluang pelantikan jika Raus dan Zulkefli dikekalkan.
FMT sebelum ini melaporkan hakim bersara dan Badan Peguam tidak senang dengan kemungkinan Raus dan Zulkefli dikekalkan.
Datuk Abdul Hamid Mohamad, yang berkhidmat sebagai ketua hakim selama setahun sehingga 2008, berkata sebarang langkah mengekalkan Raus selepas persaraan akan menjejaskan kebebasan badan kehakiman.
Hamid berkata mengekalkan seorang ketua hakim negara melepasi umur persaraan wajib akan mewujudkan ketidaktentuan dalam kalangan hakim mengenai kerjaya mereka.
Haim Mahkamah Persekutuan bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata ada hakim berwibawa yang boleh mengambil alih tempat Raus.
Beliau memberi amaran sekiranya kerajaan mengingkari perlembagaan dan kekangan undang-undang dan melanjutkan tempoh ketua hakim negara, ia hanya mengundang perkara buruk.
Presiden Badan Peguam George Varughese khuatir melanjutkan tempoh hakim tertinggi bukan sahaja tidak berperlembagaan tetapi secara tidak adil menjerumuskan Raus ke dalam kontroversi. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top