pahangdaily pahangdaily Author
Title: AMANAH Mahu 'Cabar' Keputusan Lanjutkan Khidmat Rauf, Zulkefli !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Amanah akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan melanjutkan perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tan...
KUALA LUMPUR: Amanah akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan melanjutkan perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, pelantikan itu melanggar Perlembagaan Persekutuan dan akan menjejaskan kebebasan badan kehakiman sepertimana diperkata bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad.
“Selepas mengambil kira beberapa perkara penting dalam memastikan kesucian dan keluhuran Perlembagaan negara ini terus dipertahankan, Amanah akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan lanjutan pelantikan kuasa tertinggi kehakiman.
“Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (melanjutkan perlantikan itu) jelas tidak mengendahkan Perlembagaan Persekutuan.
“Ini kerana menurut laporan, pelantikan itu dibuat di bawah Perkara 122(1A ) Perlembagaan Persekutuan dan ini menyebabkan pelantikan Tan Sri Raus adalah bercanggah dengan Perkara 125(1),” kata beliau menerusi kenyataan media.
Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri yang mengumumkan pelantikan itu berkata Raus akan terus memegang jawatan ketua hakim negara untuk 3 tahun lagi mulai 4 Ogos manakala Zulkefli akan terus berkhidmat sebagai presiden Mahkamah Rayuan untuk 2 tahun lagi mulai 28 September.
Mereka dijadual bersara apabila usia mencecah 66 tahun ini.
Putrajaya berkata keputusan mengekalkan Raus dan Zulkefli dibuat mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.
Perlantikan Raus dan Zulkefli turut mendapat kritikan pemimpin pembangkang yang lain termasuklah Panasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pakatan Harapan akan memasukkan usul ke Parlimen untuk membatalkan pelanjutan perkhidmatan Raus dan Zulkefli.
“Tindakan ini akan mewujudkan duluan di mana hakim-hakim akan membuat keputusan untuk memuaskan cabang eksekutif demi mendapatkan habuan iaitu lanjutan tempoh perkhidmatan dengan cara yang meragukan ini,” kata Wan Azizah.
Mengulas lanjut,Salahuddin berkata tindakan Najib bersetuju melanjutkan khidmat Raus dan Zulkefli sebagai cubaan berselindung di bawah Perkara 122(1A).
“Najib cuba untuk berselindung di bawah Perkara 122 (1A) bagi mewajarkan pelantikan Tan Sri Raus.
“Ironinya, semua maklum sebelum ini kerajaan sudah pun melanjutkan pelantikan Tan Sri Raus sebagai ketua hakim negara setelah umur beliau mencecah 66 tahun dan lanjutan itu hampir tamat tempoh, dan sekali lagi beliau dilanjutkan perkhidmatan.”
Tambahan lagi, kata beliau, kerajaan juga menyebut pelantikan Raus bagi tempoh 3 tahun lagi dibuat di bawah Perkara 122 (1A) sedangkan Perkara 122 (1A) hanya memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.
“Perdana Menteri juga seolah-olah merampas kuasa legislatif dengan meminda Perlembagaan Persekutuan secara arbitrari,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top