pahangdaily pahangdaily Author
Title: Editor Sarawak Report: KPN Khalid Patut Siasat Dakwaan, Bukan Buat Lawak
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Ketua Polis Negara sepatutnya menyiasat dakwaan Sarawak Report (SR) terlebih dahulu sebelum menepisnya dengan menyifatka...

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara sepatutnya menyiasat dakwaan Sarawak Report (SR) terlebih dahulu sebelum menepisnya dengan menyifatkan ia sebagai laporan “merepek”, kata editor laman itu. Clare Rewcastle-Brown terkejut dengan tindakan Tan Sri Khalid Abu Bakar memandang ringan perkara serius itu. 

“Saya sudah menyatakan Gopi berhubung dengan ramai pegawai kanan, termasuk beliau sendiri (Khalid), sebelum penahanannya (Gopi) – selain beberapa pegawai Melaka yang ditahan bersamanya,” katanya menerusi e-mel. Rewcastle-Brown mengulas kenyataan Khalid semalam yang menolak kebimbangan wanita itu terhadap seorang suspek disyaki orang tengah dalam sindiket antara polis dan aktiviti perniagaan haram di Melaka, menghubungi ramai pegawai kanan. 

Ia didedahkan dalam laporan SR disiarkan awal minggu ini. SR mendakwa ketua baharu Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman, DCP Saiful Azly Kamaruddin, menerima “tidak kurang 36 panggilan” daripada Gopinathan Krishnan yang lebih dikenali sebagai Gopi. 

Gopi ialah salah seorang suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mei lalu. Dia disyaki menjadi “orang tengah” utama antara polis dan kegiatan judi dan rumah urut haram di Melaka. Semalam, Khalid mempersoalkan apa salahnya Saiful menerima panggilan daripada Gopi dengan berkata beliau menerima “ratusan panggilan” setiap pagi daripada mereka yang ingin mengucapkan selamat pagi kepadanya. “IGP (ketua polis negara) jelas tidak cuba menafikan atau menjelaskannya dengan cara signifikan,” kata Rewcastle-Brown. 

“Saya terkejut beliau cuba memandang ringan perkara yang nampaknya sangat serius dengan cara seperti itu dan mendakwa beliau menerima ‘ratusan panggilan’ daripada bermacam-macam orang setiap pagi yang tiada sebarang makna.

Beliau nampaknya membuang masa sangat berharga buat dirinya dalam proses itu.” Rewcastle-Brown berkata, respons Khalid menunjukkan “pendekatan bodoh dan tidak profesional yang membimbangkan” terhadap tugasnya. “(Ini) berdasarkan banyak ulasan sub-standard beliau buat kepada media dalam hal ini.” 

Beliau berkata, SR hanya mengemukakan fakta, dalam konteks siasatan terhadap kes rasuah polis di Melaka, yang menimbulkan isu sangat serius dan memerlukan siasatan menyeluruh serta penjelasan sewajarnya. “Jawapan spontan seperti ini tidak memuaskan,” katanya. Rewcastle-Brown bagaimanapun yakin jika atau ketika Khalid dan pegawainya disoal secara rasmi hubungan mereka dengan Gopi, beliau akan memberi “respons serius dan berdasarkan fakta” kepada orang ramai dan pihak berkuasa.

 “(Gopi) tidak mempunyai alasan rasmi atau profesional untuk menghubungi mereka semua melalui telefon bimbit rasmi mereka pada hari bekerja mereka.” Mengenai dakwaan Khalid yang laporan SR “merepek”, Rewcastle-Brown berkata, beliau perlu melihat fakta yang diberikan dan apa yang berada di sebaliknya. “(Beliau tidak sepatutnya) membuat lawak acuh tak acuh mengenai panggilan sangat serius.” 

Pada 14 Jun lalu, Khalid mengakui beliau dan keluarganya mengenali Gopi, tetapi ia tidak bermakna dia akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya terlibat jenayah. “Gopi, jika dia melakukan apa-apa di luar undang-undang, saya akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya. 

SR mendakwa mempunyai dokumen membuktikan lelaki berusia 32 tahun itu berhubung dengannya melalui telefon dan menuduh Gopi pernah menghubungi ipar Khalid, Mohd Isa Hussin yang menjalankan perniagaan senjata api di bawah syarikat Nilai Arms. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top