pahangdaily pahangdaily Author
Title: Husam Alu-Alukan Saman Syarikat Terlibat 'Projek Hutan' Di Kelantan
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA : Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa berkata beliau tidak gentar dengan ugutan saman oleh sebuah syarikat yang dituduhn...
PETALING JAYA: Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa berkata beliau tidak gentar dengan ugutan saman oleh sebuah syarikat yang dituduhnya menerima kelulusan sejuta ekar hutan simpan daripada Kerajaan Negeri Kelantan untuk program pemeliharaan.

Sebaliknya, bekas exco kanan pentadbiran PAS itu menyenaraikan beberapa laporan polis tahun lalu oleh mereka yang mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat yang menganjurkan skim mata wang maya atau bitcoin.
Husam, yang berkata menerima banyak aduan “termasuk dari Indonesia dan luar negara”, mahu Ketua Pegawai Eksekutif Climate Protectors Sdn Bhd, Tang Too Siah untuk tampil menyatakan sama ada laporan polis itu ada kena-mengena dengannya.
“Saya belum dapat mengesahkan sama ada dakwaan ini benar atau tidak. Saya berharap Tang boleh menjelaskan kepada umum sama ada beliau ada terlibat dengan dakwaan itu atau tidak,” katanya.
Semalam, Tang dalam satu kenyataan berkata pihaknya mempunyai hak mengambil tindakan undang-undang terhadap Husam berhubung dakwaan mengenai penglibatan syarikatnya dalam projek yang melanggar peraturan Bank Negara Malaysia (BNM).
Husam sebelum ini mempersoalkan Kerajaan Negeri Kelantan kerana memeterai perjanjian dengan Climate Protectors untuk menguruskan sejuta ekar tanah negeri, walaupun tanpa kelulusan BNM.
Husam berkata, orang ramai mungkin menjadi mangsa penipuan apabila langkah meluluskan konsesi 30 tahun kepada syarikat itu untuk meningkatkan stok karbon di hutan hujan, turut digunakan untuk mengutip wang daripada orang ramai melalui penjualan token digital.
Menurut laman web sekutu syarikat itu, konsesi itu akan digunakan “untuk memelihara hutan hujan dan mengurangkan gas tercemar dalam udara untuk mengurangkan jejak karbon”. Pelabur turut dipelawa menyertai projek itu yang akan dilaksanakan dalam beberapa fasa, dengan janji bonus setiap 6 bulan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata Kerajaan Negeri tidak pernah mengarahkan mana-mana syarikat mengutip wang untuk projek itu, sebaliknya berkata perjanjian Januari lalu adalah untuk tempoh 2 tahun bagi membuat analisa saintifik dan penilaian daripada saintis bertauliah bagi mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan.
“Fasa pelaksanaan seterusnya adalah bergantung kepada tempoh kajian ini dengan melihat kepada keupayaan syarikat mengendalikan projek terbabit,” kata Ahmad.
Husam dalam kenyataannya semalam menyenaraikan 11 laporan polis terhadap Ecobit, sebuah syarikat yang berdagang dalam bitcoin atau mata wang maya.
Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menafikan pernah mengiktiraf syarikat tersebut menjalankan program pemeliharaan alam sekitar di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (UNFCC) mahupun Program Kerjasama Mengurangkan Pelepasan dari Pembasmian dan Degradasi Hutan di negara membangun (UN-REDD).
Syarikat itu juga didapati baru-baru ini mengeluarkan logo PBB di lamannya. “Menjadi tugas saya selaku ADUN untuk menjaga kepentingan negeri dan rakyat saya,” kata Husam yang juga adun Salor. “Ugutan saman tuan tidak boleh mengubah tugas dan tanggungjawab saya untuk terus bersuara.” #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top