pahangdaily pahangdaily Author
Title: Jho Low Pernah Rancang Membeli Bank Barbados, "Lindungi" Dana !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low yang disebutkan dalam tindakan perundangan Jabatan Kehakiman Amerika ...
PETALING JAYA: Ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low yang disebutkan dalam tindakan perundangan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung isu 1MDB, dilaporkan pernah melahirkan hasrat untuk membeli bank di Barbados bagi menyimpan asetnya dengan selamat.
Wall Street Journal (WSJ) dalam laporannya Jumaat lalu mendedahkan e-mel yang dikaitkan dengan Yousef Al Otaiba, duta besar Emiriah Arab Bersatu ke AS yang dikatakan pernah berurusan dengan Low dan rakan perniagaannya, Shaher Awartani.
Ia menyebut Low, 35, disebut dalam 1 e-mel yang mengatakan beliau mahu bank itu diperoleh menerusi sebuah syarikat milik Al Otaiba dan Awartani sebagai pembeli rasmi, untuk menjadi “tempat simpanan” dana miliknya dan juga rakan-rakan dan anggota keluarganya.
Dalam 1 e-mel yang lain dari Awartani, Low digambarkan sebagai pernah menyatakan hasrat semasa mesyuarat pada Disember 2013, kedua-dua Al Otaiba dan Awartani akan dibayar jumlah yang tidak didedahkan sebelum akhir tahun itu jika kesepakatan melibatkan bangunan Helmsley, juga dikenali sebagai Park Lane Hotel, di New York ditutup pada hari yang sama, kata laporan itu.
Laporan itu berkata Low telah mengambil 55% kepentingan dalam bangunan 46 tingkat dan menjual sebahagian daripada saham kepada dana pembangunan kekayaan Abu Dhabi, Mubadala Development.
Pada 5 Mei 2015, Low sekali lagi dihuraikan dalam e-mel yang ditujukan kepada Al Otaiba oleh eksekutif kewangan yang berpangkalan di Dubai, yang bekerja di sebuah syarikat dikuasai oleh Al Otaiba dan Awartani, sebagai mengarahkan lelaki itu menutup akaun mereka di BSI Bank, syarikat swasta Switzerland, kata laporan itu.
“Beliau telah memindahkan aset-aset utama dan akaun dari BSI, dengan beberapa baki yang akan ditutup atau dipindahkan tidak lama lagi,” kata eksekutif itu memetik Low sebagai berkata.
Eksekutif itu juga menulis yang Low membincangkan membeli sebuah bank di Barbados untuk menyimpan wang, dengan sebuah syarikat pelaburan Dubai yang dikuasai oleh Otaiba dan Awartani sebagai pembeli rasmi, kata laporan itu.
Menurut eksekutif tersebut, Low “merasa terdorong untuk membeli sebuah bank sebagai tempat simpan dana beliau, rakan dan keluarga,” katanya. WSJ juga memetik seorang wakil Low yang tidak bernama yang menafikan sebarang salah laku melibatkan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang dalam urusan 1MDB. 
“Encik Low yakin apabila tribunal undang-undang yang bersesuaian dan bebas dibentangkan dengan fakta yang sebenar, maka akan jelas yang kes ini sangat tidak kukuh dan merupakan contoh tindakan terlalu umum oleh pihak berkuasa tertentu,” wakil itu dipetik sebagai berkata Jumaat lalu. 
“Ini menunjukkan pergantungan kepada maklumat yang tidak betul dan secara sengaja dibocorkan, maklumat yang tidak disahkan untuk menyokong naratif yang tidak kukuh dan bersifat politik. Ini mewujudkan gambaran yang berat sebelah dan tidak tepat.” 
Satu tweet yang dikaitkan dengan Low dikongsi oleh wartawan WSJ, Bradley Hope bulan lalu, di mana hartawan itu dilaporkan mengecam DoJ dengan mendakwa ia tidak membuktikan sebarang bentuk salah laku telah berlaku. 
"Langkah terbaharu DoJ meneruskan usahanya yang tidak wajar untuk merampas aset walaupun tidak membuktikan adanya sebarang kecurangan telah berlaku,” kata tweet itu. “Aktiviti minggu ini di pihak DoJ adalah satu lagi contoh mengenai akses global dalam meneruskan kes yang sangat cacat. 
“Kami mengharapkan mahkamah akan dibentangkan dengan fakta sebenar yang menunjukkan kes DoJ itu benar-benar tidak berasas,” katanya. Dalam saman perampasan sivil difailkan Julai tahun lepas, DoJ berusaha untuk mendapatkan semula aset bernilai AS$1 bilion (RM4.28 bilion) yang didakwa dikaitkan dengan dana 1MDB. 
Aset termasuk, tetapi tidak terhad kepada Park Lane Hotel, hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, jet peribadi, karya seni yang mahal serta pembiayaan filem Martin Scorsese “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio. Pada 15 Jun tahun ini, 
DoJ memfailkan saman sivil lain untuk merampas aset AS$540 juta (RM2.3 bilion), termasuk karya seni, barang kemas, kapal layar bernilai AS$165 juta dan hak membabitkan 2 filem komedi dibintangi Jim Carrey dan Will Ferrell, semuanya dibayar dengan dana yang didakwa dari 1MDB. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top