pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kenapa Harga Elektrik Belum Lagi Turun Jika Pelaburan Edra Berjaya ?
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini membalas balik tuduhan cuba sabotaj ekonomi Malaysia oleh Datuk Seri Abdul Rahma...

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini membalas balik tuduhan cuba sabotaj ekonomi Malaysia oleh Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dengan mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu untuk berdebat secara terbuka mengenai pembabitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam penjanaan tenaga elektrik. 

“Sepatutnya jika Rahman benar-benar yakin 1MDB telah banyak membantu rakyat Malaysia melalui pembabitannya di dalam industri penjanaan tenaga bebas; atau yakin bahawa potensi pelaburan di dalam Edra Energy adalah baik (dan dana awam tidak perlu bimbang dengan risiko pelaburan), maka beliau tidak wajar gentar untuk berdepan dengan saya di dalam satu perdebatan,” kata Rafizi. 

Terdahulu, pemimpin Umno itu berkata pembabitan 1MDB melalui Edra Global Energy Berhad (Edra Energy) menyebabkan pembida Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) menurunkan harga masing-masing, kerana 1MDB meletakkan bidaan terendah bagi setiap PPA baharu atau yang diperbaharui, sejak sistem tender terbuka dilaksanakan pada September 2012. 

Hasilnya, kadar PPA kini lebih adil untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana harga yang dibayar kepada penjana bebas (IPP) lebih murah, melibatkan 40% dari kos; dan juga kepada Petronas kerana bil subsidi gas kini 1/3 lebih rendah, menghasilkan penjimatan sebanyak RM10 bilion. Menurut Rahman, penjimatan dari kadar PPA yang adil kepada TNB dan Petronas sekaligus kepada kerajaan, diunjurkan bernilai hingga RM200 bilion bagi tempoh 20 tahun akan datang. 

Bagaimanapun, Rafizi berkata jika 1MDB berjaya menghasilkan keuntungan, penjimatan dan pengurangan kos untuk TNB, Petronas dan kerajaan, mengapa pengguna masih menanggung harga elektrik yang tinggi. “Jika benarlah 1MDB telah menyebabkan perjanjian IPP lebih adil dan mengurang kos menjana dan membekal elektrik kepada rakyat, kenapa tarif elektrik tidak turun selari dengan penurunan kos dan keuntungan TNB seperti yang didakwa? “Sebaliknya tarif elektrik menjadi lebih tinggi sejak pembabitan 1MDB di dalam industri penjanaan elektrik bebas,” tambah Rafizi.

Beliau menambah kos subsidi gas turun mendadak bukan disebabkan pembabitan 1MDB tetapi kerana harga minyak mentah dunia jatuh mendadak. Terdahulu, pemimpin PKR itu mempertikaikan langkah pemilik Edra Energy, China General Nuclear Power Corporation (CGN), menyenaraikan syarikat itu di Bursa Malaysia dan menyeru pelabur institusi Malaysia yang bertanggungjawab bagi dana awam memboikot tawaran awal awam (IPO) Edra Energy. 

1MDB menandatangani urusjanji menjual 100% aset tenaganya di bawah Edra Energy kepada CGN pada 23 November 2015 untuk RM9.83 bilion tunai. Menurut Rafizi, aset tenaga itu dijual kepada CGN untuk mengurangkan hutang 1MDB, yang membeli aset jana elektrik dari syarikat kroni pada harga yang lebih tinggi dari nilaian. 

Katanya, penyenaraian Edra Energy itu “bagi tujuan mengutip kembali RM5 bilion dari RM9.83 bilion yang dibayar kepada 1MDB”. “Ia samalah seperti rakyat yang menanggung hutang 1MDB buat kali ke-2 jika saham-saham itu dibeli oleh dana-dana awam yang dimiliki rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan, Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Khazanah,” tegas Rafizi.

 “Lagipun, jika benarkan Edra Energy mempunyai potensi keuntungan yang tinggi seperti yang diuar-uarkan, saya pasti CGN mampu menjual saham-sahamnya kepada pelabur antarabangsa tanpa perlu bergantung kepada dana awam milik rakyat.” Rahman menyifatkan seruan boikot Rafizi itu sebagai sabotaj itu kerana ia boleh melemahkan keyakinan pelabur asing dan menyebabkan Edra Energy serta syarikat lain tidak membuat penyenaraian di bursa saham tempatan. 

Rafizi mempertahankan seruannya selari dengan kemahuan rakyat yang “serik” dengan tanggungan hutang 1MDB yang “tidak berkesudahan” dan penyenaraian Felda Global Ventures. “Oleh itu, cara yang terbaik membincangkan perkara ini ialah melalui satu perdebatan terbuka yang disiarkan secara langsung baik di televisyen nasional dan melalui Facebook LIVE,” katanya. “Saya percaya banyak pihak yang berpengalaman luas menganjurkan perdebatan seperti Sinar Harian boleh menguruskan debat ini dengan cepat.”#sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top