pahangdaily pahangdaily Author
Title: "Lanjut Tempoh Hakim", PH Bakal Bawa Usul Halang Najib ‘Rosakkan Kehakiman’
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Pakatan Harapan akan memasukkan usul ke Parlimen untuk membatalkan pelanjutan perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Rau...
PETALING JAYA: Pakatan Harapan akan memasukkan usul ke Parlimen untuk membatalkan pelanjutan perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya mengambil maklum Badan Peguam menyatakan pelantikan itu melanggar perlembagaan, sementara bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad dan bekas hakim Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata ia bakal menjejaskan kebebasan badan kehakiman.
“Tindakan ini akan mewujudkan duluan di mana hakim-hakim akan membuat keputusan untuk memuaskan cabang eksekutif demi mendapatkan habuan iaitu lanjutan tempoh perkhidmatan dengan cara yang meragukan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau akan membincangkan perkara itu secepat mungkin dengan pimpinan Pakatan Harapan untuk membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja agar 1 pendirian tetap boleh dibuat “sambil menjunjung kedaulatan undang-undang”.
“Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak perlu dihalang dari terus merosakkan kebebasan badan kehakiman negara ini,” katanya.
Wan Azizah berkata hakim tambahan boleh dilantik atas nasihat ketua hakim negara yang masih berkhidmat, selain daripada jawatan yang termaktub dalam Perkara 122(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu ketua hakim negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta 11 hakim Mahkamah Persekutuan.
“Maka pengumuman Pejabat Perdana Menteri bahawa perlantikan terbaharu ini dibuat atas nasihat ketua hakim negara yang baru bersara April lalu perlu dipersoal,” katanya, dan menambah umum juga tidak mengetahui sama ada Majlis Raja-raja bersetuju dengan langkah pelantikan itu.
Pejabat Perdana Menteri semalam ketika mengesahkan pelantikan itu berkata Raus akan terus memegang jawatan Ketua Hakim negara untuk 3 tahun lagi mulai 4 Ogos, manakala Zulkefli akan terus berkhidmat sebagai Presiden Mahkamah Rayuan untuk 2 tahun lagi mulai 28 September.
Mereka dijadual bersara apabila usia mencecah 66 tahun ini.
Putrajaya berkata keputusan mengekalkan Raus dan Zulkefli dibuat mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.
Ia menambah pelantikan dibuat atas cadangan ketua hakim ketika itu, Tun Arifin Zakaria kepada Agong pada 30 Mac sebelum bersara.
Bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman hari ini berkata keputusan itu memberi gambaran para hakim sedia ada di Mahkamah Persekutuan belum sedia untuk diangkat.
Bekas Presiden Badan Peguam Zainur Zakaria berkata mengekalkan Raus dan Zulkefli menghantar mesej hakim lain di Mahkamah Persekutuan tidak layak. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top