pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kit Siang: Arahan JPPM Mengarut, Tun Mahathir Minta Berlaku Adil !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengarahkan DAP ...
PETALING JAYA: Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat baharu sebagai “mengarut”.

“Sangat mengarut,” katanya di Twitter selepas arahan itu dikeluarkan petang tadi.
Ketua Pengarah JPPM Datuk Mohammad Razin Abdullah hari ini berkata pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama DAP pada 29 September 2013 dianggap tidak sah dari segi undang-undang, bersabit dengan aduan yang dibuat oleh ahli DAP sendiri yang tidak berpuas hati dengan kepincangan terhadap proses pemilihan CEC yang dijalankan ketika itu.
“Pemilihan semula yang diadakan tersebut sepatutnya berdasarkan senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC bertarikh 15 Disember 2012, iaitu melibatkan 2576 perwakilan dari 865 buah cawangan.
“Justeru, JPMM mengambil pendirian supaya DAP perlu mengadakan pemilihan semula CEC baru yang sah dan telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 orang anggota CEC diiktiraf,” kata Razin.
Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke berkata DAP akan bermesyuarat esok untuk membincangkan langkah seterusnya, manakala Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo berkata DAP menunggu surat rasmi dari JPPM.
“Masih ada banyak pilihan yang kita miliki,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad meminta JPPM berlaku adil terhadap sekutunya dalam Pakatan Harapan.
“Saya fikir, mereka boleh lakukan apa yang mereka suka tetapi saya harap mereka akan berlaku adil.
“JPPM sudah berlaku adil terhadap kita, mereka juga harus berlaku adil kepada mana-mana pihak,” katanya sewaktu ditemui pemberita hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo mendakwa JPPM sendiri mengakui CEC yang dipilih pada 29 September 2013 boleh melaksanakan semua kuasa, fungsi dan tugas mengikut perlembagaan parti.
“CEC mentadbir parti sejak 4 tahun lalu tanpa sebarang arahan daripada JPPM,” kata Gobind 2 Julai lepas.
Beliau ketika itu menjawab Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad yang berkata DAP tidak pasti akan dibenarkan menggunakan logo roket pada pilihan raya umum akan datang kerana CEC tidak diiktiraf JPPM.
Gobind mendakwa Tengku Sariffuddin mendapat fakta salah kerana perkara itu sudah diselesaikan di mahkamah pada 2014, dan JPPM melalui peguam mengakui apa yang dinyatakan dalam surat kepada DAP sekadar nasihat dan tidak sah dilaksanakan ke atas parti itu.
Pada 17 April 2013, 3 minggu sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei, JPPM menghantar sepucuk surat kepada DAP menyatakan CEC baharu parti itu tidak diiktiraf disebabkan pertikaian berhubung pemilihan parti.
Bagaimanapun, JPPM mengeluarkan sepucuk lagi surat pada 19 April memaklumkan parti itu dibenar menggunakan logo roketnya pada PRU.
Pada 22 Januari 2014, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi pihak parti itu dengan menyatakan JPPM tiada kuasa di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk menafikan pengiktirafan CEC yang dipilih semula pada 29 September 2013.
DAP menarik balik permohonan itu pada 23 September 2014, susulan pengiktirafan JPPM terhadap CEC dipilih semula itu dan pendiriannya yang kenyataan berhubung perkara itu sekadar nasihat dan tidak sah. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top