pahangdaily pahangdaily Author
Title: Mazlan Aliman: Apa Kriteria Datuk Khairil Anuar "Di Lantik" CEO FGV ?
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mempersoalkan kriteria melantik Datuk Khairil Anuar Aziz untuk mengambil...
PETALING JAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mempersoalkan kriteria melantik Datuk Khairil Anuar Aziz untuk mengambil alih tugas Presiden kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), semalam.
Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, beliau difahamkan Khairil tidak mempunyai pengalaman dalam sektor perladangan.
“Sebab itu saya ingin tahu apakah kriteria pelantikan beliau ini kerana FGV terasnya adalah perladangan.
“Berbeza dengan Datuk Zakaria Arshad yang terlibat dalam Felda dan FGV agak lama dan sekurang-kurangnya beliau mempunyai pengalaman dalam sektor perladangan,” katanya ketika dihubungi  hari ini.
Semalam, FGV menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pelantikan Khairil itu berkuat kuasa serta-merta dan Jawatankuasa Eksekutif Lembaga turut dibubarkan semalam.
Khairil merupakan generasi ke-2 peneroka Felda Sungai Klah di Sungkai, Perak. Beliau berkhidmat dengan kumpulan itu sejak 2012 dan sebelum ini ialah ketua pegawai operasi, logistik dan sektor lain FGV.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, individu yang memegang jawatan itu perlu mempunyai pengalaman dan kelebihan dalam menyelesaikan masalah dihadapi FGV.
“Saya bimbang sekiranya kita tidak melantik calon yang bersesuaian, maka kemelut ini tidak berkesudahan dan tentu sekali dia tidak akan dapat melonjakkan saham FGV yang ditunggu-tunggu pelabur dan masyarakat perniagaan,” katanya.
Sementara itu, ketika dihubungi FMT, Presiden dan CEO FGV, Zakaria yang masih digantung tugas bagaimanapun enggan mengulas pelantikan Khairil.
Zakaria dan 3 eksekutif kanan lain diarah mengambil cuti berkuat kuasa 6 Jun lalu, bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan berhubung dakwaan salah laku dalam urus niaga syarikat Afghanistan, Safitex Trading LLC dengan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
Tiga pegawai kanan itu adalah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top