pahangdaily pahangdaily Author
Title: Zahid: Kabinet Tolak Pengecualian Subjek BM, Untuk Doktor Pelatih !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PUTRAJAYA: Kabinet hari ini membatalkan keputusan Kementerian Kesihatan untuk mengecualikan siswazah perubatan yang mengikuti kursus d...

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini membatalkan keputusan Kementerian Kesihatan untuk mengecualikan siswazah perubatan yang mengikuti kursus doktor pelatih di hospital kerajaan daripada syarat lulus subjek Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat mingguan Kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Zahid berkata Kabinet komited mempertahankan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia mengenai Bahasa Kebangsaan. 

“Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan merupakan bahasa rasmi Persekutuan iaitu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32),” katanya. 

Menurutnya, Kabinet juga bersetuju pindaan ke atas Akta Perubatan 1971 bagi mewajibkan syarat kelulusan BM sekiranya mahu meneruskan perkhidmatan doktor muda yang tamat latihan. Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berharap keputusan ini akan menamatkan kontroversi berkenaan keputusan melonggarkan syarat kelulusan BM untuk segelintir siswazah. 

“Harap isu ini ditamatkan kerana jemaah menteri telah sebulat suara,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Ia selepas pelbagai pihak mempersoalkan keputusan untuk mengecualikan syarat kelulusan BM SPM bagi lulusan perubatan yang memohon jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 lantikan kontrak.

Pada 2 Julai, Kementerian Kesihatan mengumumkan kelonggaran syarat lulus subjek itu untuk pekerja perubatan lantikan kontrak, iaitu pelatih perubatan. Ia bagi membolehkan graduan perubatan yang tidak lulus BM peringkat SPM berkhidmat dan membolehkan mereka memperoleh sijil penuh pegawai perubatan. 

Sejak 1 Oktober tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melantik pelatih gred UD-41 secara kontrak, tetapi calon masih perlu lulus subjek BM peringkat SPM. Mengulas lanjut, Subramaniam berkata gambaran sejak 3 hari ini seolah-olah pihaknya memberi kelonggaran kepada semua pekerja perubatan lantikan kontrak lulus BM. 

Separuh siswazah Melayu 

Menurutnya, daripada 4,500 siswazah dilantik sejak Disember 2016, hanya 23 sahaja menerima kesan daripada kelonggaran itu. “Dan 11 ialah anak orang Melayu sebab bapa mereka kerja di luar tetapi itu tidak bererti mereka tidak boleh bercakap dalam Bahasa Melayu,” katanya. 

Menurutnya, kebanyakan terlibat itu adalah daripada anak-anak diplomat. “Ini kerana mereka ikuti sistem pendidikan yang berbeza yang ada di negara lain,” tegasnya. Subramaniam berkata mereka yang terlibat perlu lulus Bahasa Melayu sebelum dilantik sebagai pegawai perubatan siswazah secara tetap. 

“Dan ini akan memastikan keseragaman lantikan itu dan Kementerian Pendidikan akan membantu dalam mewujudkan peperiksaan SPM yang boleh diambil satu subjek sahaja bagi membantu kumpulan ini,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top