pahangdaily pahangdaily Author
Title: PEKA: Pelombong Bauksit Langgar 'Moratorium', Gesa Semua Patuh !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Pelaksanaan moratorium terhadap perlombongan bauksit di negeri ini sejak 15 Januari 2016, dipercayai gagal menghentikan aktivi...

KUANTAN: Pelaksanaan moratorium terhadap perlombongan bauksit di negeri ini sejak 15 Januari 2016, dipercayai gagal menghentikan aktiviti itu yang kini disyaki berjalan secara haram.

Selepas lebih setahun moratorium perlombongan bauksit dikuatkuasakan, ada pengusaha lombong dipercayai meneruskan aktiviti itu dengan berselindung di sebalik alasan mengeluarkan simpanan bauksit sedia ada.

Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, ketika moratorium dilaksanakan, simpanan bauksit adalah 5.4 juta tan, tetapi sehingga 8 Jun 2017, sejumlah 5.8 juta tan bauksit sudah dieksport melalui Pelabuhan Kuantan dan Kemaman, Terengganu.

Perlombongan yang dipercayai masih berjalan menyaksikan lori dengan muatan bauksit beroperasi seperti biasa, melalui ladang kelapa sawit sekitar FELDA Bukit Goh, sebelum memasuki Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di antara laluan Jabor menghala ke susur keluar Plaza Tol Kuantan.

Hasil maklumat awam, tinjauan  selama seminggu, mendapati aktiviti lori memunggah bahan mineral berkenaan masih berjalan dan menggunakan khidmat sekumpulan tonto bagi melindungi kawasan perlombongan.

Seorang peniaga di kawasan Pasir Kemudi, Jalan Sungai Lembing-Kuantan yang enggan dikenali, mendakwa aktiviti memunggah bauksit tidak pernah berhenti, walaupun sejak kerajaan menguatkuasakan moratorium.

"Mana ada (berhenti), boleh dikatakan setiap hari ada lori yang keluar masuk membawa bauksit, cuma kini semua lori dibersihkan sebelum memasuki jalan raya. Saya tidak tahu lori itu bawa bauksit dari mana atau ke mana, saya tidak pernah tanya walaupun mereka selalu singgah di sini (kedai miliknya).

"Susah nak masuk ke sana (lombong bauksit), ada orang kawal, kena ada pikap (pacuan empat roda) sebab ia masuk ke dalam. Saya tidak mahu ambil tahu sangat, lagi pun saya berniaga di sini, nanti (perniagaan) saya juga yang susah," katanya.

Usaha wartawan dan jurugambar meninjau lokasi lombong dan pusat simpanan sementara, termasuk melalui jalan pintas yang ditunjukkan penduduk kampung berhampiran, gagal kerana sering diekori sekumpulan lelaki.

Mereka yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda menghalau dan mengugut selain merakamkan gambar wartawan dan jurugambar BH sebelum memaksa supaya beredar dari lokasi dengan segera.

Difahamkan, hanya individu tertentu dibenarkan melepasi kawasan yang dikawal tonto, selain perlu menggunakan pacuan empat roda untuk sampai ke lombong dan tempat simpanan bauksit.

Berbeza dengan kawasan Bukit Goh, tinjauan terhadap lombong bauksit berhampiran penempatan penduduk Sungai Karang Darat dekat Beserah, di sini, mendapati ia sudah tidak beroperasi sepenuhnya sejak insiden tiga kanak-kanak maut di kolam takungan di situ pada Februari lalu.


Seorang penduduk di kawasan perumahan berdekatan, berkata semua jentera yang pernah beroperasi melombong bauksit di situ, sudah dibawa keluar selepas kejadian malang menimpa tiga kanak-kanak terbabit.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, mengakui pihaknya mendapat maklumat daripada orang ramai, masih ada lombong yang aktif melakukan aktiviti itu, selepas lebih setahun kerajaan memperkenalkan moratorium.

Beliau mendakwa, kegiatan memunggah bauksit yang masih berterusan di Pahang, berpunca daripada pelaksanaan moratorium secara terpilih sejak diperkenalkan 15 Januari tahun lalu.

"Susah nak atasi masalah ini, jika ada pihak tertentu terus melakukan kegiatan melombong atau mengangkut bauksit, sepatutnya apabila kerajaan perkenalkan moratorium, semua aktiviti berkaitan dihentikan.

"Ini tidak, ada pihak masih dibenarkan meneruskan aktiviti itu, ada yang dilarang. Kenapa ini boleh berlaku? Kalau nak laksanakan (moratorium), biarlah semua pihak patuh, barulah boleh selesaikan isu ini dengan lebih berkesan," katanya.


Shariffa Sabrina berkata, kerajaan menerusi agensi berkaitan perlu mengambil tindakan tegas bagi meningkatkan keyakinan rakyat serta menunjukkan kesungguhan mengatasi sepenuhnya masalah itu. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top