pahangdaily pahangdaily Author
Title: Skandal Scorpene: Jenayah, Razak Baginda Kena 'Dakwa' Di Perancis
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
SHAH ALAM : Kerajaan Persekutuan digesa memberi kerjasama dengan Mahkamah Perancis berhubung siasatan terhadap Abdul Razak Baginda yang ...

SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan digesa memberi kerjasama dengan Mahkamah Perancis berhubung siasatan terhadap Abdul Razak Baginda yang didakwa dengan pertuduhan jenayah urus niaga penjualan kapal selam Scorpene, desak kumpulan persatuan sivil.

Menerusi kenyataan bersama, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) berkata, peguam Perancis, William Bourdon mengesahkan Razak didakwa atas tuduhan ‘bersubahat dengan aktif dan pasif dalam rasuah’ serta ‘penyelewengan harta korporat’.

Katanya, Bourdon mengesahkan perkara itu kepada Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy dan C4, Cynthia Gabriel, bahawa Razak didakwa pada 18 Julai lalu.

“Peguam mereka berkata tidak sepatutnya wujud keraguan terhadap pendakwaan itu kerana Perancis mempunyai sistem mahkamah dua peringkat dan semua yang didakwa akan dibawa ke mahkamah lebih tinggi apabila inkuiri disiapkan.

“Bourdon turut memberitahu SUARAM dan C4 bahawa hakim yang menyiasat Roger LeLoire menulis 11 halaman penghakiman berasingan untuk pendakwaan Razak dan rasional tuduhan jenayah dikenakan terhadapnya,” katanya lapor Malaysian Insight.

Menyambut baik keputusan itu, Sevan berkata, pendakwaan terhadap Razak mengesahkan kebimbangan mereka terhadap aktiviti penyelewengan wang rakyat menerusi pemerolehan urus niaga, pada 2002.

SUARAM dan C4 turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap kes itu serta-merta dan tindakan berdiam diri hanya akan memalukan Malaysia.

“Pihak berkuasa Malaysia tidak boleh lagi terus berdiam diri berkenaan urus niaga Scorpene, terutama dengan perkembangan terkini di Perancis.

“Memandangkan pegawai dan perunding utama Malaysia dalam urus niaga itu didakwa dengan pertuduhan jenayah, ia menunjukkan berlaku rasuah besar-besaran berhubung kes berkenaan,” katanya.

Razak merupakan penasihat kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pertahanan antara 2000 dan 2008.

Dalam tempoh itu, Najib menyelia perjanjian pembelian dua kapal selam Scorpene dan kapal selam jenis Agosta bernilai RM5 bilion dari unit limbungan kapal DCN Perancis, yang dikaitkan dengan Kumpulan Thales, sebuah syarikat teknologi pertahanan di negara itu.

Pasukan penyiasat di Perancis juga sedang meneliti dakwaan kononnya €114 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, yang pada masa itu dikawal isteri Razak sebagai sebahagian daripada urus niaga.

Setakat ini, empat eksekutif industri pertahanan Perancis sudah didakwa sejak siasatan bermula. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top