IKLAN BISNES ANDA DI PAHANG DAILY ONLINE (PDO) SEKARANG !!

PAKP Teruja "Berjaya" Kutip Tiga Ribu "Tandatangan" Dalam Masa Tiga Hari !


PEKAN:Kekal dengan prinsip memperjuangkan peluang anak muda diangkat sebagai pemimpin di DUN Peramu Jaya oleh parti-parti politik yang bertanding, PAKP telah melancarkan borang deklarasi untuk membuktikan yang masyarakat di peringkat akar umbi menyokong usaha ini.

Presiden Persatuan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant menyifatkan, borang deklarasi yang diedarkan bagi mengutip tanda tangan pengundi di DUN Peramu Jaya telah melebihi sasaran pihak PAKP dalam masa 3 hari ia dilancarkan dan cukup jelas menyampaikan mesej bahawa anak muda dan rata-rata masyarakat juga mahu melihat perubahan.

Menurutnya, perjuangan yang dilakukan melalui deklarasi ini tidak mewakili parti-parti politik, tetapi ia adalah suara rakyat yang beliau (Syed Faiz) dengar bagi menuntut agar tampuk kepimpinan turut disertai anak muda yang seharusnya belajar dan membentuk kepimpinan diri dari sekarang.

"Saya tak boleh mengubah keputusan setiap parti yang bertanding, menentukan calon itu hak mereka (parti), tetapi saya dah sampaikan mesej dan suara anak muda yang mahukan perubahan.

"Saya percaya ia juga suara anak muda yang ada dalam parti-parti politik, cuma mereka tidak berani menonjol dan bersuara kerana terikat dengan perlembagaan parti. Berbeza dengan kemampuan saya untuk mengetengahkan idea dan pendapat melalui kedudukan sebagai pemimpin NGO yang lebih bebas memberi cadangan walaupun tidak boleh mencampuri urusan parti mereka. Yang penting suara masyarakat akar umbi sampai ke atas.

"Jadi, melalui deklarasi yang saya sampaikan inilah perlu diberi perhatian oleh setiap pucuk pimpinan setiap parti. Saya yakin, parti tidak begitu tahu apa yang orang bawah buat dan mahu. Mereka lebih memegang konsep 'dengar dan percaya' pada sebelah pihak. Dengan cara ini sudah tentu sahaja wakil parti akan memberi laporan yang positif demi menjaga hati pucuk pimpinan, seolah-olah semua tiada masalah sedangkan ia tidak boleh digunapakai.

"Buat apa nak jaga hati orang atasan jika keperluan melihat perubahan datang dari suara akar umbi? Bila nak dengar suara rakyat? Bila nak berubah demi kebaikan semua pihak? Takkan nak dengar suara wakil parti saja? Bila sudah kalah baru tanya apa yang rakyat mahu?," soalnya ketika ditemui pemberita.

"Kadang-kadang kerana 'kemaruk' kuasa, ada segelintir pemimpin yang sanggup mengenepikan suara ahli parti sendiri untuk terus mempertahankan jawatan.

Ketika ditanya lanjut mengenai keputusan bertanding pada PRU14, Syed Faiz berkata keputusan ingin bertanding hanya untuk menyampaikan mesej ini. Setakat ini saya dah berpuas hati, jadi saya nak umum hari ini, saya tarik diri untuk bertanding selepas berbincang dengan PAKP dan mahu beri tumpuan pada keluarga dan perniagaan yang dijalankan.

"Ia (keputusan tidak bertanding) juga turut dipengaruhi oleh rasa hormat terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Ahli Parlimen Pekan dan saya percaya mesej yang dibawa telah sampai kepada semua pihak termasuk calon-calon lama yang tetap mahu bertanding sedangkan bukan calon 'favorite' rakyat.

"Deklarasi ini saya akan bentangkan kepada beliau (Najib) selaku presiden UMNO apabila berkesempatan bertemu nanti dan mengirimkan kepada pucuk pimpinan parti-parti yang bertanding seperti Presiden PAS dan Pakatan Harapan.

Saya terima maklumbalas dan sokongan berterusan dari masyarakat, saya bersyukur kerana diterima sebagai seorang calon bebas yang relevan dan diperlukan jika meneruskan perancangan untuk bertanding.

Berpuas hati dengan maklumbalas yang diterima, Syed Faiz mendedahkan bahawa kempen calon anak muda yang dijalankan sejak parlimen dibubarkan mendapat sokongan moral yang begitu hebat.

"Lebih 50,000 penduduk termasuk di luar Daerah Pekan, keluarga, ahli persatuan, NGO serta rakan-rakan perniagaan
memberi sokongan kepada saya ketika bertemu dan melalui panggilan telefon, kiriman sms, aplikasi whatsapp, facebook. Ada antara yang memohon untuk mendapatkan baju kempen wajah saya yang memegang tiket bebas.

"Saya tidak dapat menunaikan permintaan semua tetapi saya berterima kasih di atas segala sokongan moral yang diberikan termasuk 3,000 tandatangan yang telah diperoleh sejak deklarasi calon muda dilancarkan kelmarin. Bayangkan, jika ia diteruskan selama sebulan dengan purata kutipan tandangan sebanyak 1,000 sehari maka PAKP akan berjaya mengutip semua tandatangan pengundi di bawah DUN Peramu Jaya ini. "Katanya.

"Ia (deklarasi) akan terus berjalan hingga esok (jumaat), saya jangka kita akan dapat sehingga 10 ribu tandatangan di mana semua itu akan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti-parti politik supaya dapat mempertimbangkan calon muda pada pilihan raya akan datang (PRU15) yang perlu diambil kira.

"Deklasrasi ini menunjukkan bukti bahawa rakyat disini tidak menolak anak muda mewakili mereka di peringkat DUN.

"Syed Faiz berkata, pada kali ini kita masih beri laluan pada calon-calon tua yang bertanding di atas rasa hormat. Saya tak letak apa-apa harapan sebagai calon bebas, tapi jika saya bertanding dan menang?, orang kata saya gopoh sangat?," katanya berseloroh.

Tegasnya lagi, beliau (Syed Faiz) anggap telah menang dari sudut moral dan mencapai matlamat. "Tidak perlu membawanya ke gelanggang PRU dan secara logik tempoh masa yang ada mungkin terlalu singkat dan sukar untuk pemimpin di atas menukar calon muda dalam keadaan terburu-buru.

Sementara itu, beliau berharap agar parti-parti yang bertanding tidak terus menafikan kemampuan dan hak anak muda untuk mewakili mereka sebagai pemimpin pada masa hadapan.

"Pada awal dulu, saya dapat sumber dari pihak tertentu bahawa ada calon muda dari parti-parti politik akan ditampilkan pada PRU-14 di DUN Peramu Jaya, saya sangat bersemangat nak sokong, tetapi berlaku sebaliknya apabila desas desus mengatakan muka lama masih dikekalkan sebagai calon. Bertindak atas keputusan (kekal calon tua) itulah saya melancarkan deklarasi dan mempertimbangkan hasrat ingin bertanding (atas tiket bebas) sebagai suatu bentuk protes.

"Tiada sedikit niat pun untuk menentang parti-parti sedia ada, malah ia tidak sepatutnya menjadi salah faham atau modal untuk menyebar fitnah sedangkan saya hanya membawa suara generasi muda yang 'tenggelam'.

"Saya juga tidak mahu membuang masa, tenaga dan duit melayan karenah politik, tetapi saya terpanggil untuk mengangkat keluhan anak muda yang merupakan majoriti pengundi di DUN Peramu Jaya kali ini atas gesaan mereka (anak muda).

"Saya lakukan atas rasa tanggungjawab, bukan mahu terlibat dengan perebutan kuasa, sedangkan calon-calon yang ada belum tentu dapat membela nasib rakyat dengan sebaiknya.

"Anak muda di DUN ini menjadi 'majoriti senyap', mereka ini tidak dapat nak bersuara, ibarat diluah mati mak, ditelan mati bapak kerana sudah terlibat dalam parti politik secara langsung mahupun tidak. Jadi inilah (bawa suara anak muda) yang saya sedang lakukan, inilah juga yang akan menentukan masa depan kita (peluang untuk memimpin).

Memetik kata-kata bekas Presiden Indonesia Bung Karno "Beri aku 1,000 orang tua, niscaya akan kucabut semeru dari akarnya. Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia", Syed Faiz berkata kemampuan anak muda tidak sepatutnya dipinggirkan begitu sahaja.

"Saya cadangkan, perlu ada had umur selepas ini untuk diletakkan sebagai calon, tidak perlu sehingga tujuh lapan, penggal jadi calon sedangkan setiap parti mempunyai pelapis dari kalangan anak muda yang berpotensi. Berilah meraka ruang. Jangan monopoli kuasa, "tegasnya.

"Anak muda hari ini jauh lebih berkemampuan, dengan sokongan moral tidak berbelah bahagi dan dunia hanya di hujung jari, kepimpinan dapat dibentuk merentasi waktu dan zaman tanpa perlu menekankan omongan lapuk bahawa kepimpinan seharusnya didahului banyaknya angka usia (tua) sedangkan ia hanya kata-kata dari meraka yang 'tamak'. Ubahlah ia selagi kita punyai masa dan ingatlah, dunia akhirnya akan menjadi kepunyaan anak muda, "akhirinya. #PDO

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]