PROMOSI HEBAT !! MURAH !! MURAH !! PM 601120682238 UNTUK INFO LANJUT
 

pahangdaily pahangdaily Author
Title: Maszlee: 433,000 Peminjam PTPTN "Di Keluarkan" Dari Senarai Hitam Imigresen
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PUTRAJAYA: Kira-kira 433,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang dikeluarkan daripada senarai hitam Ja...

PUTRAJAYA: Kira-kira 433,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen secara berperingkat-peringkat sejak 24 Mei lepas dan dijangka selesai 15 Jun ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata lebih satu juta peminjam telah disenarai hitam sejak tahun 2000 namun 655,000 orang yang telah membuat bayaran dikeluarkan daripada senarai tersebut melalui kaedah biasa sebelum ini.

"Saya jangka semua urusan yang berkaitan akan dapat diselesaikan sebelum pertengahan Jun. Maka dengan itu saya percaya bahawa janji yang pertama berkaitan kementerian saya akan dapat kita kotakan," katanya pada majlis penyerahan surat tawaran rasmi kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) kepada calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, di sini hari ini.

Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 telah berjanji untuk memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN dan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Mengenai janji penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan, Maszlee berkata pihak kementerian memerlukan sedikit masa lagi untuk mencari jalan terbaik termasuk mekanisme pelaksanaan bagi menunaikan janji itu.

"Saya akan membuat pengumuman sewajarnya apabila tiba masanya nanti, sebelum berakhir tempoh 100 hari pertama (Pakatan Harapan menerajui Kerajaan Persekutuan)," katanya.

Maszlee berkata kementerian telah menubuhkan sebuah kumpulan untuk mengkaji dengan teliti cara terbaik bagi melaksanakan janji tersebut dalam tempoh 100 hari dengan tidak menggadaikan kepentingan rakyat lain yang turut diberi keutamaan oleh kerajaan.

"Jadi kita harap peminjam PTPTN dapat terus membayar hutang mereka dan dapat bersabar. Berikan kami waktu untuk membuat kajian dan perincian," katanya.

Ditanya mengenai status peminjam PTPTN yang tersenarai di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS), beliau berkata nama peminjam akan masuk ke dalam senarai CCRIS secara automatik dalam tempoh 13 bulan selepas mereka tamat pengajian.

Bagaimanapun, Maszlee berkata kementerian akan mengkaji isu itu dan membuat penyelarasan dengan CCRIS.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTPTN Wan Ahmad Wan Yusoff yang turut serta dalam sidang media itu berkata peminjam yang tersenarai di bawah CCRIS boleh hadir ke kaunter PTPTN untuk menyusun semula hutang mereka.

"Kalau tidak mampu bayar ansuran bulanan RM100, boleh bincang untuk bayar RM50," katanya.

Mengenai diskaun bayaran balik PTPTN yang diumumkan dalam Bajet 2018 oleh kerajaan terdahulu, Wan Ahmad berkata ia masih dilaksanakan bagi mereka yang masih berhasrat untuk membayar pinjaman masing-masing.

Diskaun PTPTN ialah 20 peratus untuk bayaran penuh, 10 peratus untuk bayaran 50 peratus sekali bayaran dan 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata kementerian telah menubuhkan sebuah jawatankuasa induk pelaksanaan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berkaitan dengan kementerian tersebut.

Katanya jawatankuasa itu dianggotai oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan semua anggota pengurusan tertinggi kementerian dengan bahagian dasar sektor pengajian asas dan pengajian tinggi akan bertindak sebagai urusetia.

"Saya sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa ini dan saya akan memanggil mesyuarat pertama pada minggu hadapan," katanya.

Ditanya pengiktirafan kepada Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Cina (UEC) yang turut terkandung dalam manifesto PH, Maszlee berkata perkara itu akan turut dibincangkan oleh jawatankuasa tersebut.

"Sebahagian daripada usaha kami, kami akan berjumpa dengan pihak berkepentingan yang terlibat (termasuk pihak persatuan)," katanya.

Mengenai Program PERMATA yang dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pendidikan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Maszlee berkata kementerian telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi membincangkan perkara itu. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top