IKLAN BISNES ANDA DI PAHANG DAILY ONLINE (PDO) SEKARANG !!

Mat Sabu: Dari "Pentas" Ceramah Ke Menteri Pertahanan Malaysia !


KUALA LUMPUR: Pre­siden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu merupakan satu figura politik yang cukup terkenal dengan kelanta­ngannya dan mempunyai keistimewaan tersendiri dalam kalangan peminat politik tempatan.

Popular da­lam kala­ngan akar umbi, Mat Sabu sering menjadi ‘penarik’ di pentas-pentas ceramah di seluruh pelosok negara dengan ‘hidangan’ cerita-cerita panas, kontroversi dan jenaka berkait politik tanah air.

Biarpun sering dilabel sebagai ahli politik de­ngan pendekatan lapuk dan tidak mempunyai imej pemimpin nasional, Mat Sabu kini berjaya membuktikan beliau bukan sekadar ‘pemanas’ pentas ceramah apabila dilantik sebagai Menteri Pertahanan dalam barisan Kabinet yang dibentuk kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan.

Dilahirkan pada 14 Oktober 1954, anak jati Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu bersekolah di Pulau Pinang sebelum menyambung pe­lajaran dalam jurusan pemakanan di Institut Teknologi Mara (ITM) yang kini dikenali Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau telah berkahwin dengan Normah Alwi dan mempunyai empat orang anak.

Kerjaya politik Mat Sabu bermula apabila beliau menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1975 sebelum meng­anggotai Pas pada 1981.

Mat Sabu memegang pelbagai jawatan dalam Pas antaranya ialah Timbalan Presiden Pas untuk penggal 2013 hingga 2015, Naib Presiden Pas dan Timbalan Ketua Pemuda Pas bagi dua penggal, 1989 hingga 1991 dan 1993 hingga 1995.
 Beliau pernah ditahan seba­nyak dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA (Internal Security Act) pada tahun 1984 sehingga 1986 atas tuduhan terlibat dalam gerakan pelampau dan kali kedua dari tahun 1987 hingga 1989 di tahan bawah Operasi Lalang dilancarkan polis bagi menangkap mereka yang menimbulkan kekacauan akibat isu politik ketika itu.

Mat Sabu pernah menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri, Kelantan dari tahun 1990 hingga 1995, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dari 1995 hingga 1999 dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Kedah dari 1999 hingga 2004.

Pada 16 September 2015 Mat Sabu menubuhkan parti Amanah dan menjadi presiden pertamanya.

Parti Amanah pada awal penubuhannya di­sertai bekas ahli Pas selepas berlaku perpecahan dalam parti itu (Pas) susulan tindakan parti Islamik itu menamatkan kerjasama politik dengan DAP sehingga menyebabkan gabungan Pakatan Rakyat yang mewakili pembangkang ketika itu berakhir. #sumber



0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]