IKLAN BISNES ANDA DI PAHANG DAILY ONLINE (PDO) SEKARANG !!

Muhyiddin: Pakatan Harapan Sah Sebagai "Sebuah Gabungan" Parti Politik


PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) telah diluluskan sebagai sebuah parti gabungan empat parti yang sah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, yang dinamakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Dalam Negeri, berkata permohonan PH sebagai parti gabungan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini.

PH adalah gabungan parti politik iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PPBM.

"Pada malam ini saya ingin umumkan sebagai Menteri Dalam Negeri, suatu keputusan yang telah lama kita tunggu-tunggu, walaupun tanpa penglibatan saya kerana saya belum mengangkat sumpah, tetapi tindakan dilakukan melalui peringkat Ketua Setiausaha kementerian yang telah memaklumkan bahawa pendaftaran Pakatan Harapan telah diluluskan hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Merdeka Rakyat bagi meraikan pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. di Padang Timur, di sini, malam ini.

Turut hadir isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, PH telah bertanding di bawah lambang PKR dengan menggabungkan calon-calon daripada PKR, PPBM, Amanah dan DAP.

Sebelum ini dilaporkan PH tidak dapat didaftarkan kerana PPBM didakwa gagal menyerahkan dokumen yang diperlukan RoS dalam masa yang ditetapkan.

Pada PRU14, PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang baharu dengan menamakan pengerusinya, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, Muhyiddin berkata PPBM juga telah kembali menjadi sebagai satu parti yang sah selepas pendaftarannya turut diluluskan RoS hari ini.

Sementara itu Wan Azizah berkata beliau bersyukur kerana rakyat memberi sokongan penuh kepada PH selain menyambut kebebasan Anwar dengan penuh semangat.

"Syukur Ramadan ini disambut dengan kebebasan Anwar. Anwar sebelum ini dipenjara dan dizalimi," katanya.

Beliau juga tidak menyangka ceramah malam ini mendapat liputan meluas media khususnya TV3 serta media lain.

Pada program sama, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memohon supaya media memberi liputan adil kepada semua parti walaupun terhadap pembangkang kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk mengangkat isu rakyat.

"Saya juga mintal sahabat-sahabat dalam PH sedar bahawa setiap sen yang anda belanjakan itu adalah wang rakyat dan saya minta supaya sahabat-sahabat sedar bahawa yang mengangkat kita bukan tokoh parti atau individu-individu tertentu tetapi rakyat," tambahnya.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan kes liwat.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, pada asalnya dijadual dibebaskan pada 8 Jun.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan serta-merta hari ini selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]