IKLAN BISNES ANDA DI PAHANG DAILY ONLINE (PDO) SEKARANG !!

Tok Pa: “Pemilihan UMNO” Bulan Depan Perlulah Bebas Dari Politik Wang

Kuala Lumpur: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap pemilihan parti itu bulan depan bebas daripada amalan politik wang selain berlangsung dalam suasana kekeluargaan.
Beliau berkata, ahli UMNO juga perlu menolak budaya politik `warlord', sifat angkuh dan retorik perkauman melampau yang mencalarkan imej parti.


Ahli Parlimen Jeli itu berkata, keputusan Majlis Tertinggi (MT) membuka semua jawatan untuk dipertandingkan diharap mampu memperbaiki imej parti.
"Pemilihan itu menjadi platform untuk akar umbi memberikan mandat baharu kepada barisan kepemimpinan yang mempunyai visi dan memiliki kemampuan menerajui serta memulihkan imej parti dalam mendepani cabaran mendatang.
"Dengan keikhlasan dan iltizam politik yang mahu berubah mampu memberi nafas dan wajah baharu kepada UMNO," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mustapa berkata, UMNO masih diberi kepercayaan menerusi 54 kerusi di Dewan Rakyat dan perlu menunaikan amanah sebaik mungkin sebagai pembangkang.
Katanya, kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membawa hikmah tersendiri kepada UMNO, sekaligus membuka ruang kepada mereka untuk melaksanakan pembaharuan dalam parti selain agenda rejuvenasi parti yang dianggap penting ketika ini.
"UMNO perlu berubah kerana rakyat tidak akan menunggu kita. Pemimpin UMNO di setiap peringkat perlu bermuhasabah dan berani untuk melakukan perubahan radikal bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti ini.
"UMNO perlu menjadi pembangkang yang konstruktif untuk mewujudkan 'semak dan imbang' yang berkesan pada negara selain menangani beberapa kelemahan pentadbiran dalam kerajaan terdahulu," katanya.
Mustapa berkata, sebagai salah seorang anggota Jemaah Menteri (sebelum ini) dan bersandarkan kepada prinsip 'collective responsibility', mereka turut bertanggungjawab terhadap beberapa perkara.
Beliau turut meminta ahli UMNO menerima suara rakyat dengan terbuka dan berlapang dada selepas peralihan tampuk pentadbiran negara kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ia adalah isyarat yang cukup jelas bahawa soal integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik penting dalam memacu Malaysia mendepani cabaran akan datang.
"Justeru, rakyat perlu memberi ruang kepada pentadbiran baharu untuk meletakkan negara di atas landasan kukuh, sejajar dengan amalan demokrasi," katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]