[IKLANEKA SAIZ 468X60 PIXEL | RM100 SEBULAN | SILA WHATSAPP SINI]



Parti Anak Muda Melayu Kebangsaan (BANGSA) Jadi Platform Lahir Pemimpin Muda Berkaliber


KUALA LUMPUR: Penubuhan Parti Anak Muda Melayu Kebangsaan (BANGSA) dilihat bakal mencetus revolusi perjuangan politik di kalangan anak muda yang mempunyai potensi dan kualiti.

Presidennya, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, BANGSA mempunyai agenda penting iaitu mahu mewujudkan peluang kepada anak muda yang terpinggir dalam arena politik meneruskan semangat juang dalam membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat.

"BANGSA akan menjadi parti acuan anak muda yang bersungguh-sungguh dalam mengambil bahagian menyumbang untuk membina sebuah negara maju yang sejahtera selain memelihara kestabilan politik yang mapan demi kepentingan rakyat dan negara.

"Perjuangan parti BANGSA adalah untuk mengangkat suara dan martabat anak muda, mempertahankan kedaulatan negara, agama Islam dan membela kebajikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama menerusi perjuangan politik yang berpandukan prinsip undang-undang, Raja Berperlembagaan, Islam sebagai Agama Persekutuan dan keadilan sosial demi mewujudkan sebuah pemerintahan yang seimbang.

"Kita tidak menggalakkan sesuatu perkara yang dilarang, malah kita bertindak berteraskan undang-undang, patuh pada sistem demokrasi berparlimen. "Tidak salah tubuh parti baru demi mengetengahkan kredibiliti anak muda," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Syed Faiz menegaskan, sudah banyak contoh depan mata di mana sejarah merakamkan majoriti barisan pemimpin hari ini juga bermula seawal usia yang muda.

"Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri diangkat menjadi Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun malah beliau banyak menerima sokongan rakyat pada ketika itu walaupun pada usia muda.

Lihat juga (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (Allahyarham Tuan Guru) Nik Aziz, Nurul Izzah dan ramai lagi. malah (Tun) Mahathir juga boleh beri peluang pada anak muda melalui barisan kabinetnya," katanya.

Beliau menambah, BANGSA adalah sebuah parti yang bergerak dalam dimensi baru di mana ia tidak akan tertakluk atau terikut 'tradisi lapuk' yang telah memusnahkan kebanyakan parti gergasi hari ini kerana tidak memberi peluang atau mendengar suara anak muda.

"BANGSA akan menjadi wadah perjuangan baru yang akan diwakili ahli-ahli berusia 21 hingga 45 tahun sahaja. Kita tidak mahu anak-anak muda yang berpotensi dan memiliki semangat juang politik yang tinggi ini pupus begitu sahaja kerana budaya 'kerat mengerat' yang diamalkan oleh golongan veteran yang tamak dan 'tidak mahu lepas jawatan'.

"Tambahan lagi dalam dunia yang terlalu pantas berkembang, maklumat hanya terletak di hujung jari dan kelebihan itu ada pada anak muda yang lebih cekap dan bijak menguasai dunia maya. Mereka mampu menyebarkan kebaikan kepada rakyat dan bekerja dengan kederat serta kelebihan yang dimiliki.

⁩ "Golongan lama kena sedar, pengaruh anak muda cukup besar dalam menentu arah perkembangan negara malah dunia hari ini dikelilingi anak-anak muda yang mencari peluang untuk sama-sama berjuang.

⁩"BANGSA akan menjadi sebuah parti gerakan yang berpengaruh kepada anak muda malah kita telah menetapkan bahawa calon-calon dari Parti BANGSA akan dipersiapkan bagi menyertai Pilihan Raya Umum Persekutuan dan Negeri serta Pilihan Raya Kecil (PRK) sekaligus menghantar wakil parti ke Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Rakyat akan menilai dan melihat persaingan dan perjuangan secara sihat di kalangan anak muda malah kita tidak menolak untuk bekerjasama dengan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai aspirasi serta prinsip sehaluan dalam usaha membentuk kepimpinan masa depan negara yang lebih baik, demi kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya," katanya.

Tambah beliau lagi, perasaan sedih timbul apabila melihat keadaan politik anak muda kini di mana begitu ramai melayu muda tidak daftar mengundi disebabkan kurang pemahaman, kesedaran dan minat tentang masa depan negara sendiri sehingga akhirnya bangsa lain mengambil kesempatan dengan begitu mudah.

Beliau berkata, "Golongan muda merupakan teras penting yang menggambarkan kewujudan dan cermin negara pada masa akan datang.

"Secara mudah hendak faham, "BANGSA ini hak orang muda, lebih had umur 45 kena 'rejek'. Saya pun tak boleh berangan pegang lama-lama jawatan dalam parti. "Adil lah untuk generasi kita akan datang, mereka pun mahu merasa berkuasa dan mendapat peluang secara automatik, ini sekaligus mengelak monopoli kuasa, nanti jadi 'kemaruk' kuasa susah, "katanya.

"Harapan saya bersama pucuk pimpinan BANGSA mahu melihat parti yang diasaskan ini terbilang sebagaimana parti-parti sedia ada. Saya amat yakin dan percaya, sudah pasti semua anak muda, dalam parti-parti sedia ada dalam negara ini jelas dengan konsep serta matlamat yang diperjuangkan.

Sementara itu, bagi merealisasikan agenda yang ditetapkan, BANGSA akan memulakan jelajah ke seluruh pelusuk negara dan akan menggembeleng tenaga dalam usaha untuk 'menarik keluar' potensi dan jumlah keanggotaan anak muda yang besar serta bakal menjadi sejarah.

"Ini adalah 'kapal' kepada semua anak muda. Kita tidak letak had atau batas kepada kemampuan diri, apa yang penting kemahuan berpolitik dan semangat juang tinggi.

"BANGSA terbuka kepada mereka yang berminat tidak kira jantina, malahan bonus kepada mereka yang berpotensi untuk bersama-sama membawa idea serta gagasan anak muda dalam pembentukan negara bangsa mengikut hak dan acuan generasi muda pewaris masa depan, "akhirinya. #PDO

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]