PROMOSI HEBAT !! MURAH !! MURAH !! PM 601120682238 UNTUK INFO LANJUT
 

pahangdaily pahangdaily Author
Title: Seluruh Rakyat Malaysia Menanti "Janji 100 Hari", Pakatan Harapan
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
LEBIH dua minggu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlalu dan tumpuan rakyat masih terarah kepada komitmen Pakatan Harapan (PH) menunai...

LEBIH dua minggu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlalu dan tumpuan rakyat masih terarah kepada komitmen Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji dalam tempoh 100 hari seperti termeterai dalam manifesto 'Membina Negara, Memenuhi Harapan' dibentangkan mereka.
Janji atau tawaran 100 hari PH pasti dinanti-nantikan rakyat, antaranya mahu mewujudkan suruhanjaya dan jawatankuasa untuk menyiasat dan menangani isu menimbulkan kontroversi.
Antara isu paling kontroversi ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), manakala isu yang dekat dengan rakyat ialah menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta mengurangkan kos sara hidup menerusi pelbagai inisiatif peduli rakyat.
Selain itu, janji mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963, menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar, menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.
PH juga menyenaraikan penghapusan hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka FELDA dan memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.
Tumpuan juga terarah kepada janji penangguhan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam bergaji kurang RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
Skim Peduli Sihat
Dari aspek kebajikan pula, kerajaan bertekad memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Itu sebahagian janji manifesto PH untuk menghadapi PRU-14 lalu dan pastinya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan jemaah menterinya bekerja keras merealisasikan janji berkenaan.
Namun kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan PH memutuskan untuk menangguhkan sementara beberapa inisiatif 'Janji 100 hari' sehingga keadaan kewangan negara bertambah baik.
Antara inisiatif akan ditangguhkan ialah subsidi petrol bersasar bagi kereta bawah 1300cc dan motosikal bawah 125cc, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, peningkatan gaji minimum, penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk peminjam bergaji kurang RM4,000 sebulan dan Skim Peduli Sihat.
"Jika keadaan kewangan negara bertambah baik dalam tempoh 100 hari, kita akan laksanakan tetapi jika tidak, kita akan tunggu sehingga ia baik," kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.
Kerajaan PH mengekalkan harga petrol RON95 dan diesel pada harga semasa, masing-masing RM2.20 dan RM2.18 seliter, manakala harga RON97 akan ditetap berdasarkan harga pasaran dan disemak secara mingguan setiap Khamis bermula 7 Jun ini.
Bagi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan menggantikan GST, Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 akan dibentangkan di Dewan Rakyat sebaik selesai Perbahasan Titah Ucapan Diraja pada sidang Parlimen akan datang.
Pembangkang pantau janji
UMNO yang kini menjadi pembangkang, memainkan peranan memantau semua janji disenaraikan parti lawan. Baru-baru ini, Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas komitmen Kerajaan PH yang diibaratkan seperti tempe kerana tidak konsisten dalam memberikan fakta.
Isu ini tentu akan terus dimainkan di media sosial, apatah lagi kerajaan PH mengamalkan pendekatan terbuka dan tidak mengongkong media.
Ini terbukti menerusi pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bahawa Akta Antiberita Tidak Benar diwartakan pada April lalu, akan dibentangkan di Parlimen bulan depan untuk dimansuhkan.
Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, ketika sesi Bicara Pasca PRU-14 di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ), Bangi pula memberi jaminan kerajaan PH diterajui Dr Mahathir komited melaksanakan janji 100 harinya.
"Menteri terbabit akan mencari mekanisme terbaik melaksanakan apa juga dasar yang terkandung dalam manifesto 100 hari kerajaan PH. Insya-Allah ia pasti dlaksanakan," kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota.
Dalam PRU-14, PH diketuai Dr Mahathir menumbangkan BN yang berkuasa selama enam dekad. Dr Mahathir, 92, juga mencipta sejarah menjadi Perdana Menteri paling tua di dunia, selain mengetuai pentadbiran Malaysia buat kali kedua selepas kali pertama pada 1981 hingga 2003.
Sementara itu, EXCO Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada program sama, menekankan aspek 'euforia' atau keseronokan keterlaluan meraikan kejayaan menumbangkan BN sepatutnya tidak menjadikan Kerajaan PH lupa janji 100 hari kepada rakyat.
Katanya, masyarakat sama ada penyokong PH atau BN sentiasa menilai dan memerhati apa juga tindakan dilakukan kerajaan baharu, sama ada menunaikan janji atau sebaliknya.
BN pula, katanya akan menjalankan peranan sebagai pembangkang menerusi prinsip 'check and balance' (semak dan imbang) untuk memastikan apa juga dasar dilaksanakan, mengambil kira kepentingan rakyat dan negara. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top