PROMOSI HEBAT !! MURAH !! MURAH !! PM 601120682238 UNTUK INFO LANJUT
 

pahangdaily pahangdaily Author
Title: Universiti Malaysia Pahang (UMP) "Teruskan" Program Latihan ECRL
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) yang dilancarkan tahun lalu, masih diteruskan walau...

KUALA LUMPUR: Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) yang dilancarkan tahun lalu, masih diteruskan walaupun terdapat cadangan kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan projek pembinaan landasan itu.

Pengarah Akademi Industri Rel Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Fadzil Mat Yahaya berkata, setakat ini, pengambilan pelatih bagi pengajian lepasan diploma dan ijazah serta sijil kemahiran turut diteruskan mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, sejak dilaksanakan tahun lepas, pihaknya menjalankan 2 sesi pengambilan untuk pemegang ijazah dan diploma serta sijil yang membabitkan 400 pelatih.

“Malah, seramai 49 orang turut diserap bekerja dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek ECRL itu.

“Seramai 130 orang dijangka melapor diri bekerja bulan ini dengan pengambilan berikutnya pada awal Julai yang melibatkan 80 penuntut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

UMP menyasarkan pengambilan 700 pelatih tahun ini.

Program PLKI-ECRL diwujudkan dengan matlamat melatih 3,600 tenaga mahir merangkumi peningkatan kemahiran sedia ada dan baharu berkaitan bidang rel dan teknologi kereta api.

UMP dilantik sebagai universiti Fokal bagi program latihan 3 bulan dengan silibus pengajian dirangka bersama universiti itu dengan pihak MRL dan CCCC.

“Pemegang diploma dan ijazah yang mengikuti program latihan ini memiliki kelebihan berbanding penuntut lain. Ini disebabkan mereka mempunyai kemahiran khusus dalam bidang rel dan teknologi kereta api yang tidak diajar di mana-mana institusi pengajian tinggi di negara ini, selain aspek komunikasi dan operasi.

“Pelatih sijil kemahiran pula mendapat ‘bonus’ sewaktu program itu apabila turut dilatih mengendalikan jentera berat. Kemahiran sedemikian amat berharga dalam mana-mana bidang pembinaan.”

Siswazah bidang kejuteraan awam Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) Mohd Johanfaqar Mohd Zain, 26, berpendapat amat merugikan jika kerajaan membuat keputusan menghentikan projek ECRL yang disifatkannya “lubuk peluang pekerjaan” untuk rakyat Malaysia, terutama siswazah sepertinya.

“Ramai rakan saya yang masih menganggur. Oleh itu, dengan adanya projek berskala besar seperti ini, ia memberi harapan untuk kami, khususnya siswazah serta anak-anak tempatan untuk mendapat kerja.

“Amat sayang jika projek ini dihentikan kerana rakyat di Pantai Timur sendiri turut mengharapkan satu projek kemudahan awam yang dapat memacu ekonomi wilayah itu setanding pertumbuhan ekonomi di Pantai Barat.”

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mencari jalan terbaik mengurangkan kos pembinaan ECRL daripada membatalkannya.

Pandangan beliau turut dikongsi siswazah UMP, Nurul Haziqah Jabar, 24, yang kini bertugas di Tapak Seksyen 4 (Dungun) dan menyifatkan projek itu sebagai medium melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam bidang rel dan teknologi kereta api.

“Sepanjang tempoh menjalani latihan kerja ini, kami mendapat banyak pendedahan dalam bidang rel dan teknologi yang tidak diajar di mana-mana universiti tempatan kerana ini adalah teknologi baharu dari China.

“Oleh itu, rugi jika projek ini dibatalkan. Namun saya yakin kerajaan juga bijak membuat pertimbangan sewajarnya untuk rakyat,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top