IKLAN BISNES ANDA DI PAHANG DAILY ONLINE (PDO) SEKARANG !!

Mesej Tular Punca 60 Lelaki Merusuh, Belasah Jaga Di MCKIP !


KUANTAN: Angkara maklumat tular kononnya pemandu lori berbangsa Melayu mati dipukul di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng, Kuantan, sekumpulan 50 hingga 60 lelaki merusuh dan menyerang kawasan itu, 10 malam tadi.

Kumpulan lelaki dari sekitar Kuantan itu dikatakan datang dengan bersenjatakan batang besi, kayu dan topi keledar bagi membalas dendam selepas mempercayai mesej yang tular di media sosial, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, rusuhan itu menyebabkan seorang pengawal keselamatan warga China berusia 28 tahun parah selepas kaki kirinya patah dipercayai dipukul dengan batang besi.

“Tiga lagi pengawal keselamatan warga China berusia 28 hingga 32 tahun turut cedera selepas dibaling dengan pelbagai objek seperti kayu di pos kawalan keselamatan di pintu pagar 1 MCKIP.

“Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian bergegas ke lokasi, namun semua kumpulan suspek sudah beredar...kejadian berlaku kira-kira 20 minit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, kumpulan lelaki terbabit dikatakan tidak berpuas hati dan ingin menuntut bela dengan menyerang kawasan perindustrian itu.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat lapan pengawal keselamatan sedang bertugas sebelum mereka diserang.

“Semua pengawal keselamatan itu cuba beredar dan menyelamatkan diri, tetapi empat daripada mereka tidak sempat berbuat demikian selepas dipukul dan dibaling objek.

“Palang keselamatan di pos kawalan itu dipatahkan dan cermin dipecahkan.

“Berikutan itu, polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai memukul pengawal keselamatan hingga parah,” katanya.

Mohd Noor berkata, mangsa yang parah kini dirawat di pusat perubatan swasta di Kuantan manakala tiga yang lain dirawat sebagai pesakit luar di klinik kesihatan di kawasan perindustrian itu.

Beliau menegaskan, mesej tular di media sosial itu adalah tidak benar serta berniat jahat hingga mendorong orang ramai mempercayainya.

“Polis sedang mengesan individu bertanggung jawab menyebarkan mesej berkenaan hingga tular di media sosial.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata, Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mengikut Seksyen 233 Akta Multimedia,” katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]