IKLAN BISNES ANDA DI PAHANG DAILY ONLINE (PDO) SEKARANG !!

Najib Tarik Balik Saman Pemulanya Terhadap Penyiasat 1MDB


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menarik balik saman pemula terhadap tiga penyiasat kanan yang mengendalikan siasatan berhubung penyelewengan dana berbilion ringgit dalam syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tiga individu terbabit ialah Peguam Negara, Tommy Thomas; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Peguam, Badrul Hisham Abdullah yang mewakili Najib, ketika dihubungi, mengesahkan penarikan balik saman itu.

Katanya, saman itu ditarik balik dengan alasan kes saman berkenaan difailkan sebelum Najib dituduh dengan tiga dakwaan pecah amanah jenayah dan satu dakwaan salah guna kuasa di Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan membuat pelarasan terhadap kes terbabit berikutan senario sudah berubah selepas Najib didakwa dengan empat pertuduhan berkenaan.

Najib memfailkan saman pemula itu secara berasingan terhadap ketiga-tiga individu terbabit pada 30 Jun lalu.

Beliau memohon perisytiharan dan perintah bahawa ketiga-tiga responden adalah pihak berkepentingan dalam penyiasatan kes 1MDB dan bertindak secara prejudis terhadapnya (Najib) serta pembabitan mereka adalah tidak sah.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, Thomas dengan jelas menulis artikel yang merumuskan bahawa wang 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau, sebelum dilantik mengetuai Pejabat Peguam Negara lagi.

Najib berkata, Thomas menulis artikel berhubung kait 1MDB bertajuk 'Grand Lacerny In 1MDB' itu pada Julai 2016.

Beliau berkata, Thomas jelas tidak menyukainya dalam artikel itu dan melahirkan kebimbangan beliau bahawa Thomas tetap akan mencari jalan untuk mengenakan satu pertuduhan ke atasnya.

Sementara itu, Najib berkata, Mohd Shukri yang baru dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sudah merumuskan bahawa beliau antaranya menerima wang RM42 juta dan RM2.6 bilion pada satu sidang media berhubung SRC International Sdn Bhd.

Najib menegaskan, pada masa sidang media itu dibuat, beliau belum dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM.

Beliau selaku plaintif berkata, kenyataan media itu bersifat emosi dan berunsur dendam, malah lebih malang lagi menggambarkannya sebagai seorang pesalah.

Najib berkata, Amar Singh pula bertanggungjawab mengetuai serbuan ke atas premisnya, termasuk yang didiami anak-anaknya di Pavilion Residence dan yang dipinjam daripada seorang rakan untuk menempatkan barangan dipindahkan dari kediaman rasmi di Seri Perdana.

Beliau berkata, serbuan oleh responden dan pasukannya tidak mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) dan laporan polis sudah dibuat mengenainya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]