[IKLANEKA SAIZ 468X60 PIXEL | RM100 SEBULAN | SILA WHATSAPP SINI]



PRK DUN Sungai Kandis Pentas Ujian Kerjasama PAS, UMNO !


SHAH ALAM: PAS dan UMNO wajar melakukan 'ujian' penerimaan orang Melayu terhadap kerjasama kedua-dua parti pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis dengan meletakkan hanya seorang calon.

Bekas Setiausaha PAS Selangor, Norman Toha (foto) berkata, kerjasama antara kedua-dua parti itu wajar kerana sebanyak 70 peratus pengundi di DUN Sungai Kandis adalah Melayu.

Katanya, ia juga 'pentas' terbaik untuk menguji sokongan pengundi Melayu kepada kemungkinan untuk UMNO dan PAS membentuk kerjasama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Sungai Kandis kubu kuat PKR namun mereka (UMNO dan PAS) boleh cuba untuk meletakkan seorang calon sahaja," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Norman berkata, dalam keadaan UMNO dan PAS lemah selepas PRU-14, cadangan untuk bekerjasama perlu dipertimbangkan oleh kepemimpinan kedua-dua parti itu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir secara peribadi mencadangkan parti itu untuk membentuk kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRK DUN Sungai Kandis.

Roslan Shahir berpendapat kerjasama itu antara pilihan terbaik untuk menguatkan suara pembangkang serta mengimbangi kekuatan Pakatan Harapan (PH).

Pada 2016, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki pernah mencadangkan parti itu membentuk kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRU-14 dengan alasan mengukuhkan suara Islam.

Selain itu, Majlis Syura PAS turut bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma, Isnin lalu.

Pada PRU-14, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

PH Selangor berjaya meraih 51 kerusi DUN, BN (4) manakala PAS (1). #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]