[IKLANEKA SAIZ 468X60 PIXEL | RM100 SEBULAN | SILA WHATSAPP SINI]



Bersih 2.0 Dakwa Najib Langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya !


KUALA LUMPUR: Gerakan Bersih 2.0 mendakwa, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya apabila terus berkempen untuk Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini.

Dalam kenyataan menerusi akuan Facebook rasminya, Bersih 2.0 yang turut berkongsi gambar cetakan skrin akaun Facebook Najib, mendakwa bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu melakukan kesalahan terbabit mengikut Seksyen 26(1)(a) dan (f) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Seksyen 26(1)(a) menyatakan, pada hari mengundi, tiada seorang pun boleh mengadakan, memanggil atau mengaturkan di mana-mana tempat, apa-apa bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan atau memberikan apa-apa bentuk ucapan atau syarahan sama ada atau tidak perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan, ucapan atau syarahan itu terbuka kepada atau melibatkan orang ramai atau selainnya;

Manakala (f) bagi pihak mana-mana calon, merayu undi pemilih di dalam mana-mana bahagian pilihan raya bagi menyokong atau menentang mana-mana calon atau parti politik dalam sesuatu pilihan raya dengan apa-apa cara jua termasuk melawat pemilih di rumah atau di tempat kerja mereka atau menemu ramah orang ramai.

Menerusi catatan Facebook pagi ini, Najib berkata, PRK Sungai Kandis adalah peluang untuk rakyat menunjukkan bantahan dan menghantar amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan kegagalan menunaikan janji yang dibuat ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau meminta pengundi memberi peluang untuk BN menjadi suara pembangkang yang lebih kuat untuk mempertahankan kepentingan rakyat di Sungai Kandis dan Selangor.

Bekas Perdana Menteri itu turut berkata, hanya tinggal dua minggu sebelum tempoh 100 hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kerajaan sudah berjanji secara bertulis untuk memenuhi 10 janji.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood, berkata pihaknya akan siasat jika Najib ada melanggar peraturan kempen dengan meneliti segala peraturan berkaitan perkara itu.

"Kita akan melihat laporan (dakwaan Bersih 2.0) jika kita terima. Kita akan semak dan kaji apa peraturan yang berkaitan dengannya," katanya ketika ditemui di pusat penjumlahan undi PRK DUN Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjong MBSA, Seksyen 19 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mahmood berkata SPR akan mengadakan mesyuarat khas minggu depan bagi membincangkan tarikh penting untuk PRK DUN Seri Setia termasuk tarikh sesuai untuk hari penamaan calon dan pengundian.

"Insya-Allah 8 Ogos ini (SPR) akan bermesyuarat. Kita akan tentukan tarikh hari pengundian, penamaan calon, tarikh writ dan sebagainya," katanya.

Ketika ditanya sama ada PRK Seri Setia akan diadakan serentak dengan PRK Balakong, Othman berkata, pihaknya belum meneliti perkara terbabit.

"Kita akan melihat pelbagai faktor dari segi logistik, keselamatan, tempat kemudahan dan sebagainya. Kita akan melihat pelbagai aspek," katanya.#sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]