IKLAN BISNES ANDA DI PAHANG DAILY ONLINE (PDO) SEKARANG !!

Fuziah Tanding Ketua Wanita, Dakwa Sayap Itu Kini ‘Pak Turut’


PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh mendakwa sayap Wanita di dalam PKR masa kini menjadi ‘pak turut’ dan tidak berani menegur pemimpin.

Beliau berkata disebabkan itu beliau mencalonkan diri untuk bertanding sebagai ketua Wanita PKR bagi membina semula sayap wanita parti itu.

“Sekarang (Wanita) tidak boleh persoal, tidak boleh kata tidak. Kita tidak perlu takut menegur pemimpin.

“Kita harus lantang bersuara di khalayak bukan hanya jadi pak turut. Hari ini Wanita kurang ciri-ciri yang demikian,” katanya di ibu pejabat PKR, hari ini.


Fuziah bakal bergandingan dengan Rodziah Ismail, Ali Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu 3 yang bakal merebut jawatan timbalan Wanita PKR.

Rodziah mahu menggalas tugas bersama-sama Fuziah untuk memperkuatkan parti reformasi itu.

“Kita harapkan gabungan terbaru. Kita akan bina parti bersama dan saya akan mengajak Wanita supaya kembali memperkuatkan parti kita, dan peluang ini harus digunakan sebaik mungkin,” katanya.

Sebelum ini, Fuziah berkata beliau sanggup “turun pangkat” merebut jawatan ketua Wanita dalam pemilihan parti kali ini kerana menjunjung prinsip reformasi yang diperjuangkan sejak 20 tahun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menganggap keputusannya juga bukan untuk menumpang tuah jawatan dan kedudukan dalam kerajaan atau parti yang dikecapi ketika ini.

Fuziah, 59, pernah menjadi ketua Wanita PKR antara tahun 2000 hingga 2007, naib presiden parti sejak tahun 2010, ahli Biro Politik Pusat dan ketua Cabang PKR Kuantan sehingga kini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha menafikan wujudnya budaya pak turut dalam Wanita PKR.

Beliau mempersoalkan kenyataan Fuziah dan berkata adakah langkah meletakkan sekurang-kurangnya 30% wanita dalam kalangan pemimpin parti itu satu langkah ke belakang atau ke depan.

“Mewujudkan bandaraya mesra wanita itu adakah pak turut.

“Kita juga meruapakan sayap yang awal dulu mengambil pendirian menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

“Kami tak takut untuk menyatakan pendirian kami. Adakah itu bermakna kami pak turut?,” katanya.

Haniza Talha hari ini mengumumkan akan bertanding merebut jawatan ketua Wanita PKR.

Beliau akan berganding dengan Daroyah Alwi yang mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Ketua sayap itu. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]