IKLAN BISNES ANDA DI PAHANG DAILY ONLINE (PDO) SEKARANG !!

MB Lepaskan Kuasa Pindah Milik, Gadaian Dan Pajakan Tanah


KUANTAN – Menteri Besar Pahang mengumumkan penurunan kuasa pihak berkuasa negeri (PBN) kepada Pentadbir Tanah dan Pendaftar Daerah bagi mendapatkan kelulusan pindah milik, gadaian dan pajakan tanah rakyat negeri ini, berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat PBN bagi memendekkan masa serta memudahkan urusan berkaitan kelulusan perkara tersebut.

Menurutnya, penurunan kuasa ini termaktub di bawah bidang permohonan kebenaran pindah milik dan gadaian bagi tujuan suami isteri, anak-beranak, waris kadim dan bukan waris kadim.

“Semua permohonan tersebut sama ada hak milik Pejabat Tanah atau hak milik Pejabat  Pendaftar hendaklah dikemukakan di Pejabat Tanah dan dipertimbangkan oleh Pentadbir Tanah. Keputusan bagi permohonan yang lengkap akan dikeluarkan dalam tempoh sehari atau dua hari bekerja.

“Begitu juga bagi permohonan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan tanah sama ada individu atau syarikat dalam kategori Melayu kepada Melayu, bukan Melayu kepada bukan Melayu dan bukan Melayu kepada Melayu diturunkan dari Kuasa PBN kepada Pendaftar atau Pengarah PTG bagi hak milik Pejabat Pendaftar dan Pentadbir Tanah atau Penolong Pentadbir Tanah bagi hak milik Pejabat Tanah.

“Keputusan akan dikeluarkan dalam tempoh 10 hari bekerja sekiranya dokumentasi permohonan, telah lengkap. Perlu diingat ia hanya bersabit urusan bagi tanah yang sudah mempunyai geran milikan sahaja,” katanya pada sidang media di Wisma Pahang, Jalan Gambut di sini, pagi tadi.

Wan Rosdy berkata, pindah kuasa atau penurunan kuasa ini diharapkan dapat memanfaatkan dan memudahkan rakyat dalam urusan tersebut.

Menurutnya, hal ini berbeza dengan cara lama yang mana pemohon perlu memohon kepada Pejabat Tanah kemudian Pejabat Tanah perlu kemukakan kepada Pejabat Tanah Galian (PTG) dan seterusnya dihantar ke Pejabat Menteri Besar untuk dipertimbangkan. #sumber

“Perkara tersebut menyebabkan tempoh permohonan menjadi terlalu lama sehingga berbulan-bulan. Kekangan dari segi sumber manusia juga menyumbang kepada kelewatan ini berbanding dengan pertambahan permohon­an pemilikan tanah dari semasa ke semasa,” katanya.

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]