SELAMAT ULANGT HARI ULANG TAHUN KE-10 PAHANG DAILY ONLINE (31/8/2008 - 31/8/2018)

[IKLANEKA SAIZ 468X60 PIXEL | RM100 SEBULAN | SILA WHATSAPP SINI]





Najib: Nilai RM1 Trilion Bukanlah Takrif Hutang Antarabangsa !


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mempertikaikan dakwaan hutang negara mencecah RM1 trilion, mengatakan angka itu rekaan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Takrif hutang RM1 trillion tak ikut piawaian antarabangsa. Cuma PH sahaja satu-satu kerajaan di dunia yang membuat takrif tersebut.

“Bukan sahaja itu satu penipuan tetapi kenyataan palsu yang tidak akan membantu ekonomi negara ini dan meraih keyakinan pelabur,” kata bekas Perdana Menteri, menjawab ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang menandakan 100 hari pemerintahan PH.

Perdana Menteri dalam ucapan yang disiarkan RTM semalam antara lain berkata, negara akan menuju kemuflisan hanya dengan membayar faedah bagi hutang negara berjumlah RM1 trilion.

Walaupun Najib berkata memang ada peningkatan hutang dalam 9 tahun pentadbirannya, dia berjaya menguruskan defisit negara.

“Hasilnya, pendapatan dan aset kerajaan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan aset dimiliki syarikat milik kerajaan telah meningkat lebih pantas berbanding hutang.”

Najib di Facebook berkongsi senarai negara dengan jumlah hutang terbitan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat, yang meletakkan Malaysia di tempat ke-90 daripada 210 negara.

Beliau berkata jika pun seseorang itu menerima dakwaan bahawa hutang negara mencecah RM1 trilion atau 80.3% berbanding KDNK, Malaysia masih lagi berada di kedudukan yang berbanding negara lain.

“Sebab itu Malaysia menerima penarafan kredit A daripada agensi penarafan antarabangsa pada 2017,” katanya, merujuk kepada Fitch Ratings, yang memberikan taraf “A-” pada Malaysia dengan prospek stabil.

Beliau berkata hutang negara berbanding KDNK semasa penggal pertama Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 1990-an antara 80% dan 103.4%.

“Namun kita tidak pula muflis biarpun pada 103.4%. Tetapi sebagaimana didakwa Tun Mahathir, Malaysia akan muflis kerana nisbah kita berada pada 50.8% atau 80.3%,” katanya.

Najib juga berkata Malaysia kini di belakang Thailand dan Indonesia dari segi pertumbuhan KDNK.

“Saya telah menganalisis angka-angka tersebut dan melihat beberapa kebimbangan,” katanya, dan menambah beliau akan kongsi analisis itu nanti.

“Sementara itu, kerajaan PH sepatutnya meletakkan perhatian yang lebih untuk memastikan ekonomi kita berada dalam keadaan baik, peluang pekerjaan terus diwujudkan.

“Berhenti menggunakan angka atau membuat kenyataan palsu hanya untuk memburukkan kerajaan BN lalu yang akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara ini,” kata Najib. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]