Selamat Datang Ke Portal Pahang Daily Onlie (PDO) | Salam Aidl Fitri Kepada Semua Pembaca Yang Beragama Islam

JKR Sahkan Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands Selamat


IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan lokasi kejadian limpahan air dari tebing bukit di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands (FT185 Seksyen 42) semalam, selamat untuk dilalui semua kenderaan.

Kenyataan jabatan itu hari ini turut menafikan klip video kejadian limpahan air bukit itu yang dikaitkan sebagai kejadian tanah runtuh seperti ditular dalam media sosial semalam.

“JKR mengambil maklum berkenaan klip video yang tular mengenai kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands (FT185 Seksyen 42) yang dilaporkan berlaku pada 26 September 2018.

“JKR ingin memberi pencerahan bahawa kejadian berkenaan bukan membabitkan tanah runtuh tetapi disebabkan limpahan air (di atas jalan) dan jalan adalah selamat untuk dilalui.

“Untuk makluman, kejadian limpahan air berlaku adalah berpunca daripada limpahan air dari atas bukit yang menyebabkan tembok penahan mengalami kerosakan dan sebahagian dari struktur itu runtuh.

“Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3 petang selepas hujan yang lebat sejak tengah hari (semalam) dan kerja-kerja awalan pembersihan jalan serta pemasangan peralatan kawalan trafik telah dilaksanakan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, satu laluan berkenaan dibuka semula kepada trafik pada jam 4.30 petang semalam sebelum ia dibuka sepenuhnya pada jam 7 malam tadi.

Katanya, JKR bersama syarikat konsesi penyenggaraan jalan sudah memasang papan tanda sementara di kawasan berkenaan dan pemantauan akan dibuat sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dilaksanakan.

Dalam kejadian di Kilometer 42 laluan itu semalam, kuantiti air yang banyak dan deras seperti air terjun turun dari kawasan tebing bukit ke bahagian bawah hingga mengakibatkan laluan di situ terhalang dan berlakunya kesesakan di kedua-dua arah selama beberapa jam.

Kejadian itu dikatakan berpunca hujan lebat selama beberapa jam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan kerja pengalihan tembok batu penghadang air setinggi 10 meter yang pecah dan bertaburan di atas jalan bagi membolehkan kenderaan melalui semula laluan itu. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]